Sabtu, 6 Ogos 2011

1,000 ahli Umno bincang kaedah terbaik bangunkan Kelantan

BERNAMA

Hasil perbincangan itu akan dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.



BACHOK: Lebih 1,000 anggota Umno daripada 13 bahagian di Kelantan menyertai perbincangan mencari kaedah terbaik membangunkan negeri itu yang jauh ketinggalan berbanding negeri lain.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata perbincangan yang digabung dengan pengisian Ramadhan itu bermula tengah hari sehingga lewat malam ini.

“Saya dan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Fuad Hassan akan menjadi ahli panel kepada perbincangan itu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Umno Bahagian Bachok hari ini.

Awang Adek, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata turut serta dalam perbincangan itu adalah cendekiawan dan tokoh perniagaan Kelantan.

“Kita berharap mereka akan dapat mengeluarkan buah fikiran yang bernas demi untuk pembangunan Kelantan,” katanya yang menambah hasil perbincangan itu akan dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Umno Bahagian Bachok itu turut menggesa setiap bahagian parti mencari dana menerusi syarikat swasta yang ingin mengeluarkan zakat harta, untuk diagih kepada rakyat kurang berkemampuan bagi mengurangkan beban mereka menyambut Aidil Fitri.


Tiada ulasan: