Ahad, 14 Ogos 2011

24 NGO Islam gesa Jais dakwa jika ada bukti murtadkan Muslim


KUALA LUMPUR — Sebanyak 24 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, yang mengadakan sidang meja bulat semalam, menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan pihak berkuasa membuat pendakwaan segera jika benar ada usaha untuk memurtadkan umat Islam.

Sidang meja bulat itu diadakan di Kompleks Perumahan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam, 10 hari selepas Jais menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya.

Kenyataan yang dikeluarkan hari ini tidak menyatakan dengan khusus kes membabitkan Jais dan gereja itu, tetapi difahamkan perbincangan memfokus ke arah isu berkenaan.

Khamis lalu, Jais mendakwa ia hanya membuat pemeriksaan ke atas gereja itu, bukannya serbuan sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak, atas alasan menerima aduan wujudnya usaha-usaha mahu memurtadkan umat Islam.

Bagaimanapun pengurusan gereja pula menafikan dakwaan adanya usaha memurtadkan umat Islam di premis mereka dan menegaskan Jais memang mengambil tindakan serbuan ketika diadakan satu majlis makan malam muhibah pada 3 Ogos lalu.

Semalam, PAS juga membuat pendirian rasmi meminta Jais segera mengambil tindakan jika ada bukti yang menunjukkan terdapat usaha memurtadkan Muslim ketika sesetengah pihak mendakwa parti Islam berbelah bahagi pendirian dalam isu tersebut.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Presiden Ikatan Ilmuan Nasional (Ilmuan) Dr Mohd Fuad Mohd Salleh berkata, “kami menggesa supaya Jais dan pihak-pihak berwajib yang lain segera membuat tindakan dan pendakwaan jika benar terdapat usaha-usaha untuk memurtadkan umat Islam dari pegangan akidah mereka sebagaimana tuntutan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan dan Bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan.”

Pertubuhan-pertubuhan itu mengadakan sidang meja bulat di bawah tajuk “Isu Akidah Ummah: Apa Sikap dan Peranan Kita?”

Selain itu kata beliau, pihaknya bersepakat dan beriltizam untuk mempertahankan pegangan akidah umat Islam di negara ini daripada dicerobohi selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga peruntukan Undang-undang yang sedia ada termasuk menguatkuasakan undang-undang murtad.

Malah kata beliau, pihaknya mendokong dan menyokong usaha mana-mana pihak untuk memperkukuh akidah umat Islam melalui program-program pendidikan dan kebajikan serta menuntut diperkasakan program-program tersebut termasuklah dengan mengembalikan semula bantuan yang secukupnya kepada sekolah-sekolah agama rakyat.

“Kami menuntut supaya badan-badan yang berkaitan dengan harta amanah umat Islam bertindak secara cekap bagi membantu umat Islam yang terpinggir dan tercicir supaya kehidupan mereka lebih terbela dan terjamin,” kata beliau.

Tambahan kata beliau, pihaknya mendesak supaya isu-isu berkaitan dengan akidah umat Islam tidak dimanipulasikan dan diputar belit oleh akhbar-akhbar untuk memberikan kelebihan politik kepada sesuatu pihak sehingga memecahbelahkan perpaduan umat Islam.

“Kami menegaskan bahawa isu-isu berkaitan dengan akidah umat Islam ini adalah isu yang sangat sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian kaum, justeru menyeru kepada semua pihak supaya tidak bertindak menyalahi undang-undang yang termaktub,” kata beliau.

Fuad menambah, pihaknya menuntut supaya semua pihak yang pernah terlibat merobohkan institusi-institusi Islam termasuklah meruntuhkan institusi pendidikan Islam, masjid dan surau memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia disebabkan tindakan-tindakan mereka inilah yang telah mendorong agama Islam tidak dihormati.

“Kami menggesa supaya institusi-institusi yang mentadbir urusan umat Islam diserahkan kepada mereka yang benar-benar layak dan dihormati supaya institusi-institusi ini akan dilihat sebagai benar-benar berwibawa,” katanya lagi.

Selain Ilmuan, pertubuhan-pertubuhan yang mengambil bahagian dalam sidang meja bulat semalam terdiri daripada Pimpinan, Ilmam, Sekteriat Pemuda Perihatin, Yayasan Kepimpinan Malaysia, Ummah Prihatin Malaysia, Pro-Guam, Perubatan Islam Darus Syifa, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma), Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Intelek, Belia Islam Ampang (Bisa), Ikatan Padu Rakyat Malaysia (Ikatan), Pertubuhan Muslim Professional (Improf), Ikatan Khidmat Muslim (Khidmat), Majlis Perundingan Melayu, Gagasan, Front Bertindak Anti Murtad (Forkad), Umah Care, Terap Care, Tabung Kebajikan Al-Masakin, Dewan Pemuda PAS Malaysia, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Usrah Kebajikan Profesional (IKP), Gagasan.

Tiada ulasan: