Rabu, 17 Ogos 2011

Aidilfitri: Bekalan makanan mencukupi di Sarawak

KPDNKK akan membuat pemantauan harga dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan secara melampau.



KUCHING: Rakyat negeri ini tidak perlu khuatir tentang barangan keperluan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Ini kerana Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak hari ini memberi jaminan masalah kekurangan bekalan makanan keperluan tidak akan timbul.

Pengarahnya, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa barangan keperluan bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini mencukupi.

Menurutnya, pihaknya juga telah meminta semua pemborong agar memastikan barangan seperti bekalan ayam, daging, minyak masak, bawang merah serta barangan lain mencukupi di pasaran untuk kegunaan orang ramai.

“Antara lain, kita telah mengadakan pertemuan dengan semua persatuan peniaga, penternak, pemborong dan sebagainya.

“Hasilnya, mereka juga telah memberi jaminan barangan keperluan sememangnya mencukupi untuk Hari Raya tahun ini…justeru orang ramai tidak perlulah bimbang,” katanya.

Mengulas lanjut jaminan itu, Wan Ahmad memberitahu bagi memenuhi permintaan pada musim perayaan berkenaan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan meningkatkan kapasiti import daging.

“Kami (KPDNKK) juga akan membuat pemantauan harga dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan secara melampau,” tegasnya.

Pada masa yang sama beliau turut menasihati peniaga di pasar raya di seluruh Sarawak agar mengasingkan mentega ‘Golden Churn’ ke bahagian tidak halal.

“Pembekal mentega ‘Golden Churn’ juga perlu membuat pelekat khas untuk ditampal pada logo halal mentega itu bagi menunjukkan ia tidak halal,” ujarnya.

Tiada ulasan: