Khamis, 18 Ogos 2011

Anak lancar Kempen ‘Mansuhkan Hutang Peneroka’

Oleh: Ahmad Fadli

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan melancarkan Kempen Mansuhkan Hutang Peneroka sebagai usaha untuk menyemak ketepatan penyata hutang yang diterima peneroka daripada Felda.

Pengerusi Anak, Mazlan Aliman berkata kempen itu akan dilancarkan di Labis, Johor pada 7 Oktober depan.

“Kempen itu dilancarkan di Labis kerana di situ letaknya antara tiga tanah rancangan Felda yang tertua di Malaysia,” kata Mazlan ketika membuat pengumuman itu pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut pagi ini.

Menurutnya, Anak akan melancarkan borang semakan untuk mengetahui jumlah sebenar hutang peneroka dan bukannya berdasarkan penyata dari Felda semata-mata.

“Kita juga akan berbincang dengan panel yang akan membuat semakan terperinci daripada jumlah wang sara hidup yang mereka terima dan gambaran sebenar berapa pendapatan yang mereka patut dapat.

“Panel itu akan membuat imbangan di antara hutang yang dikenakan ke atas peneroka dan pendapatan yang sepatutnya mereka dapat,” kata Mazlan.

Menurutnya lagi, mereka akan mengumpulkan data-data yang diperolehi dalam jangka masa dua bulan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk diambil tindakan.

Pihaknya memberi tempoh hingga bulan Disember dan seandainya tiada tindakan diambil, Anak akan membawa perkara itu ke mahkamah.

Felda sebelum ini berdepan dengan saman dari ratusan peneroka Felda di Kelantan, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan.

“Kita akan desak satu ‘Periytiharan Hutang Tak Munasabah’ ke atas apa yang kita namakan sebagai kos tanam semula yang membelenggu peneroka.

“Hutang ini bukan seribu dua tapi berpuluh-puluh ribu ditanggung peneroka Felda,” kata Mazlan.

Masalah hutang kos tanaman semula ini adalah sebahagian daripada pertikaian di antara peneroka dan juga Felda yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Masalah lain yang turut dialami peneroka adalah masalah kadar perahan gred (KPG) diisytiharkan Felda yang jauh lebih rendah daripada kadar sebenar, penyingkiran peneroka daripada tanah rancangan, dan juga pemilihan kontraktor tanaman oleh Felda yang tidak dipersetujui peneroka.

Tiada ulasan: