Rabu, 17 Ogos 2011

Artikel Ramadan: Hisham minta The Star buat sesuatu reda ‘suhu’

THE MALAYSIAN INSIDER

PUTRAJAYA — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang belum berpuas dengan penjelasan akhbar The Star berhubung penyiaran artikel sisipan Ramadan pada minggu lepas, meminta akhbar itu berbuat ‘sesuatu’ untuk memastikan pihak yang berasa tersinggung mendapat penjelasan sepenuhnya daripada akhbar itu.

Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, beliau berkata penjelasan kepada rakyat adalah lebih penting berbanding penjelasan kepada beliau atau kementeriannya sendiri.

“Yang saya tidak berpuas hati itu yang menyebabkan saya minta Ketua Pengarang akhbar berkenaan jumpa saya hari ini untuk mendapatkan penjelasan bagaimana kita dapat pastikan jika kesilapan berlaku ia mesti dinyatakan sejelas-jelasnya kekesalan itu terhadap rakyat beragama Islam,” kata Hishammuddin (gambar) dipetik Bernama Online.

Sebelum ini, Ketua Pengarang The Star juga telah dipanggil Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi untuk memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

“Tetapi apabila jawapan diberi kepada pegawai kita... saya rasa saya tengok bila sudah dikipas dan diapi-apikan oleh pihak tersinggung, saya rasa penting untuk kita buat ‘sesuatu’ untuk turunkan suhu kemarahan orang supaya tiada polemik berlaku,” katanya.

Akhbar berkenaan dalam sisipan ‘Dining Out’ dengan ‘Ramadan Delights’ sebagai tajuk muka depan pada minggu lepas, telah menyiarkan artikel yang memuatkan gambar-gambar masakan daging khinzir serta artikel mengenai restoran tidak halal yang menyediakannya.

Tiada ulasan: