Selasa, 2 Ogos 2011

Balu peserta Bersih 2.0 fail notis usul inkues

"Tujuan saya ikhlas. Ketentuan Allah saya terima. Tetapi saya dan keluarga perlu mengetahui bagaimana dan cara kematian beliau," kata Rosni Malan.



KUALA LUMPUR: Balu peserta Bersih 2.0 Baharuddin Ahmad, 59, yang meninggal dunia semasa perhimpunan 9 Julai lalu memfailkan notis usul bagi menuntut siasatan mengenai punca kematian suaminya.

Rosni Malan, 55, yang hadir di mahkamah bersama dua anaknya ditemani peguam pemerhati keluarganya Ahmad Jufliz Faiza memfailkan notis itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini melalui Tetuan Patrick Dass & Co kira-kira 2.30 petang tadi.

Beliau ketika ditemui pemberita berkata, inkues mengikut tatacara Kanun Prosedur Jenayah tersebut termasuklah tuntutan agar dokumen dan laporan bedah siasat arwah suaminya itu didedahkan.

“Tujuan saya ikhlas. Ketentuan Allah saya terima. Tetapi saya dan keluarga perlu mengetahui bagaimana dan cara kematian beliau.

Siapa dan pihak mana yang bertanggungjawab dan setakat mana tanggungjawab itu terbatas? Ini semua akan memberi pengajaran kepada kita yang hidup ini.

“Terdapat banyak tuduhan yang dibuat mengenai kematian suami saya tetapi apa yang saya tahu dan maklumat yang ada menunjukkan sebaliknya. Suami saya sentiasa sihat sebelum ini dan tiada tanda-tanda dia mengalami sakit yang serius.

“Saya harap jika orang ramai ada bukti-bukti yang berkaitan dengan suami saya, bolehlah kemukakan kepada peguam saya atau hadir di mahkamah nanti untuk beri keterangan,” katanya dilobi mahkamah.

Rosni berkata permohonan itu difailkan kerana sehingga hari ini pihak majistret atau Jabatan Peguam Negara masih tidak memberi respon kepada surat peguam yang dihantar walaupun tempoh masa telah diberikan.

Polis pada 10 Julai lalu mendakwa kematian Baharuddin yang juga seorang pemandu teksi adalah akibat komplikasi jantung dan bukannya berpunca dari gas pemedih mata.

Namun persoalan menghantui keluarganya apabila arwah dikatakan patah tulang dada dan juga tiga batang gigi, satu teka-teki yang masih belum disahkan oleh pihak Hospital Kuala Lumpur apabila sehingga sekarang enggan mengeluarkan laporan bedah siasat.

Tiada ulasan: