Khamis, 18 Ogos 2011

Bank Negara: Pertumbuhan ekonomi Malaysia susut ke paras 4%


KUALA LUMPUR – Pertumbuhan ekonomi Malaysia menurun ke paras empat peratus – tahap paling rendah sejak kelembapan 2009 ekoran kesan penurunan permintaan luaran dan pendekatan sederhana dalam perbelanjaan kerajaan, kata Bank Negara hari ini.

Ia merupakan penurunan suku tahunan kelima berturut-turut dan merosot daripada 4.6 peratus dicatatkan pada suku pertama tahun ini.

Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bagaimanapun berkata pertumbuhan yang kukuh dijangkakan pada separuh kedua tahun ini.

Sementara itu laporan Bernama Online memetik beliau berkata, gangguan dalam rantaian bekalan pembuatan global yang tercetus hasil daripada bencana di Jepun dan kelemahan secara keseluruhan dalam permintaan di negara-negara maju yang menyebabkan kelembapan dalam pembuatan, yang hanya meningkat 2.1 peratus.

Bergerak ke hadapan, beliau berkata yang ekonomi mampu mengekalkan unjurannya iaitu lima hingga enam peratus tahun ini, disokong oleh asas-asas kukuh ekonomi serta projek-projek daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Sumber utama pertumbuhan dalam suku kedua terus dirangsang oleh pengembangan mampan permintaan domestik swasta/persendirian dan perdagangan intra serantau yang disokong oleh eksport komoditi dan produk berasaskan sumber ke rantau ini,” kata beliau dalam persidangan akhbar di sini untuk mengumumkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2011.

“Sehubungan itu, permintaan domestiklah yang menyokong pertumbuhan kita dalam suku kedua tahun ini,” kata beliau.

KDNK dalam suku kedua mengembang sebanyak 8.9 peratus sementara ia meningkat 4.4 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ditanya sama ada unjuran pertumbuhan 5-6 peratus akan dikekalkan, beliau berkata,

“Buat masa sekarang, penilaian kita tidak mungkin ekoran prestasi separuh pertama dan pertumbuhan tahun sepenuhnya akan hampir kepada 5.0 peratus.

“Justeru itu, tiada semakan semula pada peringkat ini tetapi kita akan membuat penilaian yang teliti apabila Bajet 2012 dibentangkan Oktober ini dan jika terdapat sebarang semakan perlu dibuat, ia akan dilakukan ketika itu,” katanya.

“Bagaimanapun, jika kita mempunyai situasi di mana Amerika Syarikat dan Eropah tergelincir memasuki kemelesetan atau apa-apa sahaja faktor pencetus yang menjurus kepada kebinasaan dalam pasaran kewangan antarabangsa, maka, kita perlulah membuat penilaian semula,” kata beliau.

Tetapi sekiranya itu tidak berlaku, kata beliau, “penilaian kita ialah kita boleh mencapai sekurang-kurangnya 5.0 peratus pertumbuhan kerana ekonomi kita masih kekal dengan pertumbuhan kukuh dan pelaburan sektor persendirian swasta yang menggalakkan.”

“Kita tahu dalam separuh kedua tahun ini, banyak lagi pelaksanaan agresif Rancangan Malaysia Kesepuluh dan projek-projek ETP,” katanya.

Tiada ulasan: