Ahad, 28 Ogos 2011

Banyak fakta dalam buku sejarah tidak tepat dan diselewengkan

PASPB


Beberapa penulis dan ahli akedemik berkata, kandungan fakta dalam buku teks sejarah adalah tidak tepat dan berat sebelah.

Penulis buku, Dr Ranjit Singh Malhi, yang menulis buku sejak 1990 dan pernah menjadi penasihat buku teks sejarah kepada Kementerian Pelajaran, berkata, kebanyakan fakta yang terkandung dalam buku tersebut dibanjiri dengan fakta yang salah dan diputarbelitkan.

Dalam temu ramah kepada akhbar The Sun hari ini, Dr Ranjit berkata, beliau pernah cuba memaklumkan kesalahan fakta dalam kandungan buku-buku tersebut, namun telah ditolak oleh pegawai di kementerian terbabit malah mereka menuduhnya sebagai ‘anti nasional’.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman bahawa sukatan pelajaran sedang dikaji semula dan bakal dijadikan subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2013.

Lima daripada 10 bab dalam buku teks sejarah tingkatan empat berkisar tentang sejarah Islam berbanding kepada hanya satu bab saja dalam buku teks sebelumnya yang bertujuan untuk mendedahkan pelajar kita kepada sejarah dunia.

“Buku teks sejarah bagi sekolah menengah digunakan untuk mempromosikan kepentingan politik, sepatutnya ia dijuruskan kepada soal ilmuwan dan tidak bermotifkan politik”, kata Dr Ranjit Singh Malhi.

Ranjit seterusnya memberi contoh bagaimana sesetengah personaliti tidak diberikan pengiktirafan yang sewajarnya, seperti Yap Ah Loy yang memainkan peranan besar memajukan Kuala Lumpur sebagai pusat komersil dan lombong bijih, terutamanya selepas kebakaran pada 1881 lalu.

Menurutnya, hanya sebaris ayat sahaja yang terdapat dalam buku teks sejarah tingkata dua menyatakan bahawa Yap sebagai salah seorang yang bertanggungjawab membangunkan Kualal Lumpur.

Pengalaman dan kenyataan Dr Ranjit berkenaan turut dipersetujui oleh Ng How Kuen yang menulis buku sejarah untuk Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK).

Ng melahirkan kebimbangannya bahawa seseorang pelajar itu akan terpaksa menerima sesuatu versi sejarah yang ditetapkan atau menghadapi risiko gagal dalam keputusan keseluruhan peperiksaan tersebut.

Menurut Ng, berdasarkan fakta-fakta yang salah dan diputarbelitkan itu, sudah tiba masanya kandungan fakta buku-buku teks berkenaan dikaji semula.

“Kita selalu terpaksa menerima atau mengikut kurikulum yang disediakan oleh Kementerian pelajaran dan sekali gus membolehkan parti pemerintah memiliki kelebihan dalam mentafsir sejarah kita” – Ng How Kuen

Beliau turut memberi contoh seperti sumbangan komunis dalam menuntut kemerdekaan telah diketepikan dalam fakta sejarah buku-buku teks tersebut.

Justeru, katanya lagi, buku-buku teks sejarah wajar ditulis oleh ahli-ahli sejarah dan bukan guru-guru kerana ahli sejarah tidak terikat kepada kurikulum yang ditetapkan.

Ng menambah, pelajar tahu fakta sebenar, tetapi oleh kerana buku teks tersebut ditulis mengikut kurikulum yang diluluskan, mereka akhirnya mempelajari sesuatu yang telah diputarbelitkan.

Pendapat tersebut turut dipersetujui pakar sejarah daripada Universiti Malaya (UM), Profesor Emeritus, Khoo Kay Khim.

“Saya rasa masalah sekarang ialah kebanyakan orang yang menulis buku teks bukan menggunakan pengetahuan berasaskan penyelidikan.

“Walaupun penulis yang diberi peluang itu bukan orang yang berpengalaman, sepatutnya tulisan mereka seharusnya dibaca dan dinilaikan oleh ahli sejarah yang mempunyai pengalaman, tapi ini tidak dilakukan, malah saya tahu banyak perkara yang penting tidak dibincangkan dalam buku teks.

“Itu saya rasa satu yang sangat membimbangkan, apa yang berasaskan dokumen dan berasaskan apa yang sudah dipastikan tidak sepatutnya ditolak oleh pegawai-pegawai yang kurang pengalaman dalam bidang sejarah itu,” katanya kesal.

Tiada ulasan: