Jumaat, 12 Ogos 2011

Bekas KP Ikim: Jais, jangan ambil masa terlalu lama



Pemandangan luar gereja DUMC di Petaling Jaya 11 Ogos 2011. — Foto Jack Ooi
KUALA LUMPUR — Bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Datuk Dr Ismail Ibrahim berkata Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak sewajarnya mengambil masa “terlalu lama” untuk menjelaskan hasil siasatan di sebalik serbuan agensi itu ke atas majlis makan malam muhibah anjuran sebuah gereja minggu lalu.

Tegas beliau, semakin lama isu ini dibiarkan berterusan tanpa penyelesaian, maka semakin lama rakyat akan mengalami kekeliruan dan semakin banyak komen, terutama komen-komen negatif dan mengandungi tuduhan atau tohmahan liar, akan menjalar dalam masyarakat.

“Harap pihak Jais tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk mengeluarkan kenyataan terperinci.

“Dan, harap pihak Menteri Besari (Tan Sri Khalid Ibrahim) dengan itu akan dapat menghadap Sultan (Selangor) seperti yang dijanjikannya dari awal-awal lagi,” kata Ismail menerusi entri berjudul “Jais vs Gereja Methodist Damansara Utama” di blognya hari ini.

Ismail yang juga bekas ketua pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) berkata, pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menganjurkan majlis di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya, 3 Ogos lalu telah mengeluarkan kenyataannya bahawa majlis tersebut tidak mempunyai agenda agama, walaupun ada tersebut kalimah-kalimah dan istilah Islam yang berbaur agama.

Penggunaan gereja sebagai tempat perjumpaan hanyalah kerana NGO terbabit memperolehnya secara percuma.

“Pihak Jais pula sebelum ini telah membuat kenyataan awalnya, melalui (Exco Kerajaan Negeri) Datuk Dr. Hasan Ali bahawa majlis tersebut berbentuk dakwah agama lain kepada umat Islam.

“Akhbar-akhbar pernah menyiarkan beberapa kenyataan daripada orang Islam yang menghadiri perjumpaan tersebut bahawa mereka telah diberikan bantuan kewangan oleh pihak agama Kristian, malah mereka berputus asa (apabila) badan agama Islam tidak memberikan bantuan kewangan kepada mereka,” kata Islam.

“Inilah beberapa fakta yang timbul dari krisis yang berbangkit akibat tindakan Jais memasuki gereja itu beberapa hari lalu.

“Akibat daripada perkembangan ini juga, maka telah banyak kenyataan dan komen tidak sihat yang ditujukan kepada Jais, gereja tersebut dan Pusat Zakat serta komen negatif terhadap Islam sendiri serta penganutnya,” kata Ismail, yang kini merupakan penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ismail seterusnya menulis sebenarnya apa didengar sekarang hanya kenyataan yang tidak dapat disahkan dengan bukti-bukti nyata.

“Jais masih menyiapkan laporan terperincinya, yang kita harap akan dapat dikeluarkan dengan segera untuk membersihkan keadaan dan mendapatkan titah Sultan Selangor sebagai ketua agama dalam hal ini,” kata beliau.

Selain itu, Ismail menambah, rakyat juga memerlukan bukti daripada NGO yang menganjurkan majlis tersebut, terutamanya apabila Jais berjaya membuktikan alasannya bagi tindakannya menyelamatkan akidah umat Islam yang menghadiri perjumpaan dalam gereja itu, yang mungkin dapat dibuktikan dengan dokumen dan bukti lain lagi.

“Malah pada pandangan saya, kenyataan orang Islam sendiri terhadap dakwaan mereka bahawa pihak Pusat Zakat dan sebagainya yang tidak membantu mereka, juga memerlukan bukti yang nyata daripada hanya mengeluarkan kenyataan bebas begitu sahaja untuk menjustifikasikan kehadiran mereka dalam majlis di gereja tersebut, sehingga ramai orang yang mengambilnya sebagai fakta benar, melatah dan segera menuding jari kepada pusat zakat dan NGO Islam yang kononnya mengabaikan orang-orang ini, sebab itulah orang-orang ini berpaling kepada agama lain,” katanya.

Tiada ulasan: