Khamis, 18 Ogos 2011

Bekas SU Pemuda MIC digantung buat rayuan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Pemuda MIC C Sivarraajh akan mengemukakan rayuan berhubung penggantungan keanggotaannya selama 12 bulan berkuat kuasa kelmarin.

Beliau mungkin membuat rayuan itu minggu depan memandangkan beliau mempunyai 14 hari untuk berbuat demikian.

“Saya terima keputusan itu dengan sepenuh hati dan saya akan buat rayuan. Walaupun saya rasa tak buat salah saya akan merayu. Saya harap parti akan mempertimbangkan rayuan saya,” katanya dipetik Bernama Online.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin MIC Tan Sri K S Nijhar mengumumkan keputusan menggantung keanggotaan Sivarraajh selama 12 bulan kerana mengkritik keputusan kepimpinan parti itu menerima semula beberapa anggotanya yang dipecat, April lalu.

Sivarraajh dilapor mengemukakan aduan kepada Pendaftar Pertubuhan selepas Jawatankuasa Kerja Pusat MIC mengambil keputusan menerima semula tiga pemimpin berkenaan – bekas timbalan ketua pemuda V Mugilan dan dua bekas anggota jawatankuasa itu KP Samy dan G Kumar Amaan.

Mugilan, Samy dan Kumar Amaan dipecat apabila mereka memulakan kempen untuk menyingkirkan presiden MIC ketika itu Datuk Seri S Samy Vellu. Selepas dipecat mereka menubuhkan pergerakan dikenali sebagai Gerakan Anti Samy Vellu (GAS).

Bagaimanapun selepas Samy Vellu menyerahkan teraju kepimpinan MIC kepada Datuk G Palanivel pada Disember tahun lepas, ketiga-tiga mereka diterima semula ke dalam parti dan dikembalikan jawatan masing-masing.

Tiada ulasan: