Khamis, 25 Ogos 2011

Berapa ramai pemilih telah digugur

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) didesak menjawab dengan segera 3 soalan yang timbul berhubung pengguguran beberapa nama pengundi dalam daftar pemilih setelah diasak keras oleh PAS.

Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat berkata, soalan pertama yang perlu dijawab oleh SPR dan JPN, berapakah jumlah keseluruhan pemilih yang telah digugurkan sehingga kini.

Menurut beliau, soalan kedua, di bawah peruntukan mana dalam Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) yang membenarkan SPR menggugurkan pemilih-pemilih terbabit.

Katanya, manakala soalan ketiga, bagaimana JPN mengenalpasti individu yang tidak sahih untuk digugurkan bagi kes memiliki nombor kad pengenalan lama yang sama dan memiliki nama serta nombor kad pengenalan hampir sama.

"Apakah JPN sudah memiliki senarai warganegara klon sebelum Pemuda PAS membuat bantahan?" katanya pada sidang akhbar di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, pihaknya kurang berminat untuk melaporkan segala kecurigaan terhadap manipulasi pilihanraya kepada pihak SPR kerana pihak PAS telah berkali-kali berjumpa dan melaporkan kepada SPR berhubung dengan pelbagai masalah yang berlaku, sehingga PAS mengerakkan himpunan aman Bersih 1 pada tahun 2007 lalu.

Malangnya, tegas beliau, pembersihan daftar pemilih tidak juga berlaku, namun apabila Pemuda PAS mendesak melalui media barulah pihak SPR memberi tindak balas kepada bantahan yang telah dibuat.

"Oleh itu, saya lebih percaya kepada desakan rakyat seperti yang kita buat menerusi laporan media dibandingkan dengan laporan demi laporan yang dihantar kepada pihak SPR.

"Hasil daripada desakan rakyat inilah, SPR telah menggugurkan ribuan pemilih-pemilih yang mempunyai kad pengenalan yang sama, nama dan kad pengenalan hampir sama, warga tua lebih daripada 90 tahun dan lain-lain lagi.

"Saya percaya pengguguran nama pemilih ini adalah sebahagiannya datang daripada desakan Pemuda PAS Malaysia. Bagaimanakah saya dianggap berbohong sedangkan SPR menerima bantahan tersebut?" katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Johor sehubungan itu menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang menyatakan beliau berbohong terhadap maklumat berkenaan tiga orang yang memiliki nama dan nombor kad pengenalan hampir sama yang telah disiarkan oleh akhbar Sinar Harian pada 19 Ogos lalu bertajuk "Kembar Ditemui".

"Apa yang saya bangkitkan adalah kecurigaan saya terhadap data-data sah yang telah dikeluarkan oleh pihak SPR, mempunyai nama dan nombor kad pengenalan yang hampir sama hanya dibezakan dengan 2 digit sahaja.

"Kecurigaan saya ini adalah berasaskan kepada kenyataan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar pada 24 Julai lalu dalam akhbar The Star yang menyatakan bahawa terdapat kad pengenalan klon dalam daftar pemilih sah SPR.

"Jika benar kecurigaan saya ini, maka manipulasi pilihanraya adalah mudah untuk berlaku. Mungkin dilakukan oleh pemilik kad pengenalan atau individu lain yang berkepentingan," tegasnya.

Atas kesedaran keperluan membantu membuat proses semak dan imbang dalam sistem pilihanraya di negara ini, Pemuda PAS telah mengeluarkan data-data tertentu untuk pengesahan, dengan fasa pertamanya menggunakan nama-nama yang biasa digunakan oleh rakyat Malaysia seperti Azhar bin Ahmad, Besah binti Ali dan Mansor bin Ahmad.

"Hasil pendedahan yang kami buat menerusi laporan media termasuk dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Ogos lalu, enam individu terbabit telah dijejaki.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Encik Azhar bin Ahmad, Puan Besah bin Ali dan Encik Mansor bin Ahmad kerana telah tampil memberi penjelasan. Mereka telah membantu proses semak dan imbang dalam sistem demokrasi dalam negara ini," katanya.

Pemuda PAS, tegas beliau, sebenarnya mempunyai ribuan data untuk disemak, tetapi hanya menggunakan enam daripada ribuan data terbabit.

"Tidak mungkin semuanya kebetulan. Saya penuh yakin bahawa sebahagian besarnya adalah mirip kepada manipulasi pilihanraya," ujarnya.

Atas tujuan yang sama, Pemuda PAS melangkah ke fasa kedua kajian itu dengan lima nama yang jarang dimiliki oleh rakyat Malaysia dijadikan data pengesahan.

"Mereka semua adalah pengundi yang sah. Tidak mungkin ramai orang mempunyai nama yang unik dan memiliki hampir sama nombor kad pengenalannya kecuali dua digit. Saya mohon semua pihak yang terbabit dapat mengesahkan semua maklumat yang dinyatakan itu," ujar beliau.

Tiada ulasan: