Sabtu, 13 Ogos 2011

Bersih 2.0: Buat kenyataan politik bukan tugas orang No 2 SPR

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Bersih 2.0 melahirkan pendirian “sangat kecewa” dengan cara Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar yang terus mengambil pendekatan perselisihan melampau dan hilang upaya ke arah mereformasikan pilihan raya.

Oleh itu tegas Bersih 2.0, membuat kritikan politik merupakan tugas seorang timbalan pengerusi sebuah parti politik bukannya tugas yang sepatutnya sebagai seorang timbalan pengerusi SPR.

“Kami telah menyatakan berulang kali bahawa matlamat Bersih 2.0 adalah untuk mencapai satu sistem pilihan raya yang bersih dan adil untuk semua rakyat Malaysia, bukannya bertujuan memburukkan mana-mana institusi atau mempromosikan apa jua agenda politik,” kata Bersih 2.0 dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Oleh itu, Bersih 2.0 berkata, pihaknya amat dukacita melihat SPR terus membuat ulasan yang memudarkan semangat muafakat bekerjasama ke arah pilihan raya yang lebih bersih.

“Sebaliknya SPR ternyata lebih beria-ia mempertahankan parti pemerintah daripada para pesaingnya,” kata Bersih 2.0 sambil menambah, ia hanya berminat untuk melihat hasil daripada pilihan raya yang bersih.

Merujuk kepada tulisan timbalan pengerusi SPR baru-baru ini, kata Bersih 2.0, jika Barisan Nasional atau mana-mana parti memenangi melalui pilihan raya yang bersih dan adil, maka matlamat “kami telah pun tercapai.”

“Kami berpendapat bahawa SPR dan Datuk Wira Wan Ahmad (gambar) mesti menumpukan perhatian mereka dengan melibatkan diri bersama-sama masyarakat madani bagi memperbaiki institusi-institusi awam dan bukannya terlibat dalam perang mulut dengan parti-parti politik.

“Ulasan terkini yang dibuatnya mengancam kewibawaan awam berkenaan sifat ‘non-partisan’ SPR yang diperlukan untuk mengekalkan keyakinan orang ramai,” tambah Bersih 2.0.

Bersih 2.0 juga berkata. pihaknya berharap SPR menumpukan tenaganya untuk menyelesaikan masalah besar yang dihadapi daftar pemilih dalam penemuan baru-baru ini seperti “skandal Mismah” yang telah mendedahkan perkembangan yang membimbangkan mengenai pemberian hak mengundi kepada seseorang yang diragukan kewarganegaraannya.

“Masalah-masalah daftar pemilih lain termasuk kejadian pengundi bernama “Kampung Baru”, penyelewengan yang serius berkenaan pengundi berganda serta alamat penuh sesak dan sebagainya.

“SPR sepatutnya memberi perhatian untuk membetulkan masalah ini dengan segera dan bukannya mempertahankan serta menjadikan perkara-perkara ini sebagai isu politik yang menjejaskan kewibawaan semua pihak,” kata gabungan itu yang mengetuai perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Mengenai isu pengesahan biometrik, Bersih 2.0 berkata, pihaknya menganggap ia sebagai serius memandangkan laporan terkini bahawa pihak polis sedang menyiasat penyelewengan sistem biometrik yang digunakan untuk mendokumen para pekerja asing.

“Lebih tepat lagi, ia merupakan kelemahan dan kesalahan yang akan membolehkan penipuan pilihan raya secara besar-besaran sekiraya hanya sistem biometrik sahaja yang digunakan untuk mencegah pengundi hantu.

“Kami masih belum mendengar hujah-hujah meyakinkan tentang kenapa kaedah dakwat kekal yang lebih murah, mudah dan lebih berkesan tidak patut dipakai,” katanya yang merujuk kepada salah satu daripada lapan tuntutan Bersih 2.0.

Ia menambah kenyataan Wan Ahmad bahawa semua parti politik mempunyai akses yang sama rata kepada media dikeluarkan tanpa sebarang penelitian rapi.

“Perbandingan penerbitan parti yang sangat terhad edarannya dengan akhbar-akhbar nasional dan khidmat penyiaran kebangsaan yang dikawal parti pemerintah adalah amat mengelirukan.

“Kenyataan bahawa parti-parti pembangkang memiliki media baru juga tersasar daripada pokok permasalahannya. Malaysia yang kami hasratkan adalah di mana kesemua parti politik daripada kedua-dua belah pihak memiliki hak yang sama terhadap kesemua jenis media, tanpa ada pengecualian,” katanya lagi, yang turut berkata, “bukan semata-mata hanya satu-satu parti politik saja yang berhak terhadap satu-satu jenis media.”

Tiada ulasan: