Rabu, 17 Ogos 2011

Bersih: Laporan pembaharun pilihan raya boleh sedia sebelum Mac 2012


PETALING JAYA – Bersih 2.0 yakin pembaharuan sistem pilihan raya boleh dilakukan dengan segera, menjelang Mac depan, meskipun timbalan speaker berpandangan proses itu kemungkinan mengambil masa sekitar setahun berdasarkan pengalaman lalu.

Terdahulu dalam ulasan kepada The Malaysian Insider, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata berdasarkan pengalaman lalu, jawatankuasa pilihan khas Parlimen boleh bersidang sehingga selama satu tahun untuk menyiapkan kajian dan mengemukakan laporan terperinci.

Dalam responsnya, Bersih 2.0 mengesyorkan agar jawatankuasa pilihan khas membentangkan dua laporan – pertama berkaitan dengan pembaharuan segera untuk diumumkan sebelum Mac depan manakala laporan jangka panjang dalam tempoh setahun.

“Anda tidak perlu setahun untuk merumuskan (keseluruhan) perbincangan. Kami mengesyorkan dua laporan disediakan, yang pertama dengan segera kerana ada pembaharuan-pembaharuan yang anda boleh mengesyorkan menjelang Mac depan,” kata anggota jawatankuasa Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah di sini hari ini.

Maria berkata syor-syor dalam laporan pertama harus merangkumi aspek pendaftaran pengundi secara automatik sebelum pilihan raya umum ke-13.

Katanya, pusingan pertama syor-syor pembaharuan oleh jawatankuasa pilihan khas seharusnya mengambil kira saranan agar had kelayakan mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18, pembaharuan dalam sistem pengundian pos atau tidak hadir, penggunaan dakwat kekal dan garis panduan jelas mengenai tempoh berkempen minimum 21 hari.

“Cadangan bagi laporan pertama mesti selesai dan dilaksanakan sebelum mana-mana pilihan raya diadakan,” katanya.

“Perdana Menteri perlu memastikan pilihan raya umum tidak diadakan sehingga kesemua ini (pembaharuan) dijalankan. Selesaikan semua ini sebelum pilihan raya diadakan.

“Jawatankuasa pilihan khas tidak bermakna jika pilihan raya diadakan sebelum jawatankuasa boleh merumuskan perbincangannya atau mengemukakan laporannya,” kata seorang lagi anggota jawatankuasa pemandu Dr Wong Chin Huat.

Tiada ulasan: