Isnin, 15 Ogos 2011

BN tak ambil kesempatan tabur janji, kata Raja Nong Chik

THE MALAYSIAN INSIDER



LABUAN - Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan ia bertentangan dengan dakwaan dan dakyah pembangkang.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (gambar) berkata kerajaan BN tidak akan mengambil kesempatan melalui program-program masyarakat khususnya semasa Ramadan untuk menabur janji dan propaganda untuk memancing sokongan.

“Kerajaan BN akan terus bersikap prihatin dan memberi peluang kepada rakyat untuk menilai pencapaian kepimpinan BN. Terpulang kepada rakyat kerana BN telah berjaya membawa pembangunan untuk rakyat dan negara,” katanya dipetik Bernama Online.

Menurutnya kerajaan BN banyak menyalurkan bantuan di Labuan termasuk melalui kementerian seperti Bantuan Sewa Rumah sebanyak RM1,488 seorang yang melibatkan 46 penerima bagi 2010 dan 2011 serta skim Amanah Saham Wawasan sebanyak RM10,000 kepada 33 penerima pada 2010.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pula memberikan bantuan Program Bina Rumah (PBR) kepada 13 orang tahun ini yang melibatkan kos RM40,000 untuk setiap penerima selain Program Peningkatan Pendapatan menyediakan peruntukan RM5,000 untuk Perkhidmatan Pertukangan dan RM10,000 untuk bot dan enjin kepada 19 penerima sepanjang tahun ini.

“Segala usaha yang dilakukan ini adalah dengan harapan agar tidak ada lagi rakyat kita yang berasa dipinggirkan. Inilah komitmen kerajaan yang ada pada hari ini yang sentiasa prihatin memperjuangkan hak rakyat,” katanya.

Terdahulu, beliau mengunjungi lima rumah warga emas di Kampung Patau-Patau, Kampung Bukit Kalam, Kampung Bukit Kuda, Kampung Lubuk Teniang dan Kampung Lajau serta menyertai gotong-royong mengindahkan rumah mereka.

Selain itu, seramai 150 orang iaitu 75 orang anak-anak yatim dari seluruh Labuan dan 75 orang anak-anak OKU daripada Pusat Pemulihan dalam Komuniti PDK Labuan, Jalan Tenaga dan Pusat Pemulihan dalam Komuniti PDK Mutiara Kampung Ganggarak turut dibawa untuk membeli pakaian sebagai persiapan sambutan hari raya.

Raja Nong Chik juga mengumumkan peruntukan peribadi sebanyak RM10,000 kepada Masjid Jamek Layang-Layangan bagi tujuan penyelenggaraan, elektrik, bilik air, laluan beratap, sistem audio dan sistem hawa dingin.

“Sumbangan ini diharapkan dapat membantu pihak masjid melaksanakan pengindahan dan penambahbaikan kemudahan masjid dengan lebih baik untuk kegunaan kita bersama,” katanya.

Beliau juga meminta ketua kampung, pengerusi Bahagian Parti Komponen BN dan pemimpin masyarakat untuk memastikan tiada ahli atau anak-anak kariah masing-masing tercicir daripada menerima bantuan.

Tiada ulasan: