Jumaat, 12 Ogos 2011

BN tak tahu beza rusuhan ganas dengan perhimpunan aman

Roketkini.com

KUALA LUMPUR– Yang mengganas di London adalah perusuh, sebaliknya yang bertindak ganas di Malaysia sewaktu perhimpunan aman Bersih 2.0 adalah pihak polis.

Dengan itu, percubaan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk menyamakan keganasan rusuhan di United Kingdom dengan perhimpunan aman di Malaysia adalah tidak masuk akal sama sekali.

Setiausaha Organisasi DAP Teresa Kok berkata rusuhan di London itu berlaku secara rambang tanpa sebarang agenda yang jelas atau spesifik melainkan menimbulkan kekacauan dan keganasan.

“Di Kuala Lumpur, perhimpunan aman Bersih 2.0 mempunyai matlamat yang jelas dan telah dianjurkan secara terancang. Agenda, tarikh dan waktu bersurai telah dinyatakan secara terus-terang buat pengetahuan pihak kerajaan, polis, media dan orang awam dari awal-awal lagi.

“Penganjur Bersih 2.0 telah menegaskan bahawa perhimpunan mereka adalah perhimpunan yang aman dari awal-awal lagi,” jelasnya.

Beliau menggariskan perbezaan ketara di antara rusuhan di London dan perhimpunan aman di Kuala Lumpur untuk pengetahuan Hishammuddin dan kerajaan Barisan Nasional yang masih belum dapat membezakan di antara yang buruk dan yang baik:

* Di UK, perniagaan dan orang awam telah disamun oleh perusuh dengan kehilangan harta-benda dianggarkan bernilai berjuta-juta Sterling Pound;

* Di KL, tidak ada satu pun laporan tentang kedai disamun oleh penyokong Bersih 2.0, sebaliknya, kedai-kedai yang membuka perniagaan pada 9 Julai lalu memperolehi keuntungan berikutan kehadiran ribuan rakyat di ibu kota;

* Di UK, kereta dan bangunan telah dibakar dan dirosakkan oleh perusuh sehingga membahayakan keselamatan awam di samping kepulan asap yang menyesakkan nafas;

* Di KL, asap yang berkepul adalah daripada tembakan gas pemedih api oleh pihak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ke atas penyokong Bersih 2.0 yang berhimpun secara aman. Gas pemedih mata dan meriam air juga ditembak ke kawasan Hospital Tung Shin;

* Di UK, perusuh membawa senjata seperti pisau, batu dan “molotov cocktail” untuk mencederakan orang awam;

* Di KL, penyokong Bersih 2.0 hanya memakai t-shirt kuning yang diharamkan oleh Hishammuddin sendiri, dan ada antara orang ramai cedera kerana gas pemedih mata;

* Di UK, perusuh secara aktif dan sengaja telah menyerang dan mencederakan anggota polis;

* Di KL, polis secara aktif dan sengaja telah menembak gas pemedih mata dan meriam air terhadap peserta Bersih 2.0 yang berjalan secara aman, dan tidak pula bertindak balas apa-apa terhadap pihak polis yang bersikap agresif itu.

* Di UK, polis hanya menahan 1,000 orang walau pun rusuhan ganas telah berlanjutan selama lima hari. Tetapi di KL, polis Malaysia menahan lebih daripada 1,600 orang dalam tempoh tak sampai sehari hanya kerana cuba berhimpun secara aman.

“Oleh itu kenyataan Hishammudin bahawa rakyat Malaysia harus bersyukur dan berterima kasih kepada pihak polis kerana perhimpunan aman Bersih 2.0 tidak menjurus ke situasi rusuhan di UK adalah tidak munasabah.

“Ia menunjukkan bahawa beliau tidak dapat membezakan di antara perhimpunan aman Bersih yang bermatlamat murni mencapai pilihan raya bersih dan adil berbanding rusuhan bakar dan samun yang berlaku di UK,: kata Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh.

Beliau kesal dengan sikap Hishammuddin yang masih buta hati dan tidak insaf walau pun beratus-ratusan rakaman video membuktikan polis telah menggunakan kekerasan keterlaluan telah dimuatnaikkan ke internet untuk tontonan ramai.

“Hishammuddin masih memekakkan telinganya terhadap kutukan keras oleh warga Malaysia dan komuniti antarabangsa dan masih menyokong tindakan polis.

“Sehingga hari ini, sebulan telah pun berlalu, Hishammuddin dan polis masih gagal membentangkan laporan keganasan polis kepada orang ramai.

“Apakah ini menunjukkan ketidakcekapan dan kelalaian Kementerian Dalam Negeri dan polis segi siasatan terhadap anggota polis sendiri?” ujarnya.

Beliau menggesa Hishammuddin supaya membuka hati dan lebih berhati perut dengan mengambil iktibar daripada cara kerajaan dan polis UK mengendalikan keadaaan rusuhan yang sebenar.

Tiada ulasan: