Sabtu, 13 Ogos 2011

Dakwa Pakatan 'Ada Agenda Kotor', SPR Tak Neutral

Ditulis oleh Radzi Razak


PETALING JAYA : Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) kesal dengan kenyataan 'beria-ia' Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar apabila cuba mempertahankan parti pemerintah dan menuduh Pakatan Rakyat cuba mengulangi “agenda politik kotor” untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 melalui penyebaran fitnah dan pembohongan.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 berkata, Wan Ahmad sepatutnya bersifat tidak berpihak kepada mana-mana parti politik sekali gus tidak mengambil pendekatan terhadap perselisihan ini hingga menyebabkan badan itu hilang kredibiliti dalam mereformasikan pilihanraya di negara ini.

"Kami berpendapat bahawa SPR dan Datuk Wira Wan Ahmad mesti menumpukan perhatian mereka dengan melibatkan diri bersama-sama masyarakat madani bagi memperbaiki institusi-institusi awam dan bukannya terlibat dalam perang mulut dengan parti-parti politik. Ulasan terkini yang dibuatnya mengancam kewibawaan awam berkenaan sifat “non-partisan” SPR yang diperlukan untuk mengekalkan keyakinan orang ramai," kata Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, akhbar kawalan UMNO Utusan Malaysia memetik Wan Ahmad turut menuduh parti pembangkang mengulangi strategi sama seperti sebelum pilihan raya umum ke-12 apabila parti politik tertentu menyertai demonstrasi jalanan menuntut pilihan raya adil, mereka telah berjaya menaikkan kemarahan rakyat dan hasil perbuatan itu memberi kemenangan besar kepada mereka.

Hal itu jelas dilihat cuba menyindir Pakatan Rakyat dan BERSIH 2.0 yang berjaya mengumpulkan puluhan ribu rakyat bagi menuntut pilihan raya bersih, telus dan adil.

Jawatankuasa Pemandu Bersih juga turut menyatakan bahawa Wan Ahmad dan SPR sepatutnya menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka terlebih dahulu termasuk masalah-masalah daftar pemilih lain termasuk seperti kejadian pengundi bernama “Kg Baru”, penyelewengan yang serius berkenaan pengundi berganda serta alamat penuh sesak dan sebagainya daripada mempertahankan serta menjadikan perkara-perkara ini sebagai isu politik yang menjejaskan kewibawaan semua pihak.

"BERSIH 2.0 berharap SPR menumpukan tenaganya untuk menyelesaikan masalah besar yang dihadapi daftar pemilih dalam penemuan baru-baru ini seperti “Skandal Mismah” yang telah mendedahkan perkembangan yang membimbangkan mengenai pemberian hak mengundi kepada seseorang yang diragukan kewarganegaraannya," tegas kenyataan tersebut lagi.

Dalam pada itu mereka turut membidas sebarang cubaan untuk menyamakan Himpunan BERSIH 2.0 9 Julai lalu dan rusuhan yang berlaku di United Kingdom minggu ini.

Malah para peserta BERSIH mempamerkan tahap displin yang tinggi serta tidak bertindak ganas walaupun diasak teruk oleh Polis seperti yang dilihat oleh video serta gambar yang tersebar luas di laman maya.

"BERSIH 2.0 sepenuhnya menolak apa sahaja perbandingan perhimpunan aman 9 Julai di Kuala Lumpur dengan rusuhan di UK. Meskipun dengan tindakan keras pihak polis, berbagai rakaman video dan pengakuan saksi yang tidak terkira ramainya telah membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa rakyat Malaysia benar-benar mampu untuk berhimpun secara aman selari dengan hak-hak perlembagaan kita untuk sama-sama menuntut sebuah negara yang lebih demokratik dan sihat,"tambahnya.

Tiada ulasan: