Khamis, 4 Ogos 2011

DAP yakin Pakatan mampu buat kejutan di Perlis

Roketkini.com


PADANG BESAR– Kerjasama kukuh dalam Pakatan Rakyat serta sokongan ‘senyap’ dari rakyat termasuk kakitangan awam, meyakinkan DAP Perlis bahawa tidak mustahil untuk Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri pada pilihan raya umum mendatang.

Naib Pengerusi DAP Perlis, Abdul Manan Abdul Razak berkata, melalui ceramah-ceramah yang diadakan bersama pimpinan Pakatan Perlis, dapat dilihat bahawa kian ramai masyarakat membanjiri majlis yang diadakan di mana ianya terdiri dari pelbagai lapisan kaum.

“Sebab utama terjadi begitu ialah kerana mentaliti rakyat sudah berubah secara drastik, terutamanya di kawasan bandar, selepas perhimpunan Bersih 2.0 dan tsunami politk 2008.

“Oleh sebab itu kami berani untuk mengatakan keyakinan kami bahawa DAP bersama rakan dalam Pakatan berpeluang menambah banyak lagi kerusi di sini.

“Walau pun propaganda murahan UMNO masih menusuk masuk ke dalam jiwa Melayu terutamanya, tetapi itu bukan masalah kerana orang Melayu yang berfikiran terbuka dan lebih sederhana pendirian mereka semakin ramai dan bijak menilai yang mana baik untuk mereka,” katanya kepad Roketkini.

Perlis mempunyai tiga kerusi Parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri. Kesemuanya milik BN kecuali DUN Simpang Empat yang dimenangi PAS dalam PRU 2008.

Manan menjelaskan angin perubahan 2008 telah mengejutkan semua pihak kerana tiada siapa menyangka Pakatan akan menenangi Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak serta mengekalkan Kelantan.

Menurutnya, perubahan yang melanda turut membuka minda rakyat Perlis yang kini mula melihat DAP sebagai parti yang konsisten dan produktif dengan rekod bersih sejak penubuhannya pada 1966.

DAP Perlis mula menapak kembali di Negeri Indera Kayangan ini sejak Mei 2009, dengan pertumbuhan yang laju dengan sehingga hanya dalam tempoh dua tahun, DAP sudah mengembangkan lagi cawangannya menjadikan jumlahnya tujuh.

Manan menjelaskan bahawa beliau menyertai DAP kerana percaya kepada dasar-dasar DAP yang lebih jelas dan menjurus kepada Malaysia yang lebih unggul dan maju.

Selain itu, tambah beliau yang pernah bertugas sebagai pegawai bank, beliau memilih DAP kerana ketelusan yang ditonjolkan pemimpin parti, selain semangat perjuangan yang tinggi.

“Tengoklah mereka (pemimpin DAP) yang keluar masuk penjara… Walau pun ditahan, diseksa, disepak terajang kerajaan dan dimasukkan ISA, apabila keluar dari tahanan semangat perjuangan mereka lebih bertambah kuat,” katanya.

Beliau berkata bukan sahaja orang Melayu dan Cina, malah warga keturunan Siam di Perlis juga sudah muak dengan kerajaan UMNO-BN di Perlis.

Mengenai pembahagian kerusi Adun, Manan berkata tiada masalah di antara PAS, DAP dan PKR kerana perbincangan telah dijalankan dengan licin dan sempurna.

Setiausaha DAP Perlis, Teh Seng Chuan pula berkata, sambutan rakyat untuk Pakatan begitu menggalakkan di negeri ini di mana ramai kakitangan awam sudah memberi isyarat bahawa mereka mahu melihat perubahan.

Secara berseloroh, beliau berkata, ketika kunjungannya ke ibu pejbata kontinjen polis (IPK) Perlis dalam urusan rasmi sesuatu hal, dalam perbualan dengan beberapa anggota polis, mereka bertanya: “Awat (kenapa) DAP lambat mai (datang) ke Perlis?”

“Ini menambahkan lagi keyakinan kami sehinggakan polis pun bertanya tentang kami secara positif,” katanya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: