Selasa, 16 Ogos 2011

David Arumugam Tidak Tahu Guna Twitter, Facebook



David akan menjayakan Konsert Sampaikan Salam di Istana Budaya, pada 16 hingga 18 September ini. - Foto LIM CHENG KIAT

KUALA LUMPUR: Ketika kebanyakan artis galak menggunakan laman sosial Twitter dan Facebook untuk berkomunikasi dengan peminat, berbeza sekali dengan penyanyi dari kumpulan Alleycats, Datuk David Arumugam, 61.

Dia akui dengan faktor usia dan kesusahan mengikuti arus kemodenan masa kini membuatkan dirinya tidak menggunakan dua medium komunikasi popular masa kini.

“Saya tidak perlukan Twitter dan Facebook untuk diri sendiri tetapi ada individu lain yang menguruskan laman sesawang rasmi Alleycats dan mengemas kini setiap aktiviti serta maklumat tentang kumpulan ini.

“Jika ada e-mel daripada peminat, dia akan maklumkan kepada saya seperti seorang peminat dari England yang baru sahaja menghubungi saya selepas kali terakhir kami berjumpa pada tahun 1986 semasa saya membuat persembahan di Pulau Pinang,” katanya dalam satu temu bual di Crossroads Lounge, Hotel Concorde, di sini, Isnin.

Biarpun tidak berinteraksi dengan peminat di alam maya, namun ke mana-mana sahaja dia pergi pasti ramai yang menegur dan mengambil peluang untuk merakamkan gambar tanpa mengira bangsa dan usia memandangkan kumpulan ini sudah ditubuhkan sejak 43 tahun lalu dan menghasilkan 30 buah album.

Tambahnya yang popular dengan lagu Sampaikan Salam dan Sekuntum Mawar Merah: “Saya akui seorang yang old school dan tidak pernah berasa teruja untuk belajar melayari Facebook dan Twitter yang menjadi kegemaran ramai.

“Sebaliknya, saya lebih selesa berjumpa dengan peminat dan mengalu-alukan mereka datang ke tempat saya selalu membuat persembahan seperti di Spark Club, Petaling Jaya atau di mana-mana acara korporat dan perkahwinan.

“Terbaru, saya akan membuat konsert berjudul “Sampaikan Salam” di Istana Budaya, pada 16 hingga 18 September ini dan mengharapkan ramai peminat yang datang nanti.”

Bercerita tentang peminatnya, ada juga pasangan yang jatuh cinta dan berkahwin disebabkan lagu Alleycats yang lebih banyak berkisar tentang cinta.

“Saya pernah dikunjungi sepasang peminat dari Singapura dan mengatakan mereka bercinta disebabkan lagu Alleycats ketika membuat persembahan di Planet Hollywood Kuala Lumpur,” ceritanya.

Katanya, pendengar lebih mudah menyerap lagu-lagu Alleycats dan diminati sehingga sekarang kerana liriknya yang mudah, menyentuh perasaan dan mempunyai kaitan dengan kehidupan sesiapa sahaja.

Beralih kepada “Konsert Sampaikan Salam”, ia merupakan konsert kali kedua Alleycats di Istana Budaya selepas tahun 2008. David akui teruja dan menjangkakan konsert itu akan menjadi persembahan yang menarik.

“Konsert ini terbahagi kepada tiga segmen iaitu segmen berkonsepkan 1Malaysia. Saya akan menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil dengan iringan pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia Istana Budaya.

“Segmen kedua adalah ‘Tribute To Loga’ yang mana saya, Glen dan anak Loga iaitu Dasha akan menyanyikan lagu-lagu popular penyanyi itu seperti Suratan, Jika Kau Bercinta Lagi dan Berjuta Batu.

“Untuk segmen terakhir saya akan menyanyikan lagu-lagu popular saya dalam bentuk “medley” sehingga konsert ini selesai selama dua jam. Untuk melebihkan masa kepada nyanyian, saya akan mengurangkan sesi berinteraksi dengan peminat,” ujarnya lagi tentang konsert anjuran Aktif Mestika (AM) Event Management itu.

Memandangkan banyak lagu popular yang bakal dinyanyikan, David dan pengarah muzik konsert itu, Eddie Marzuki menetapkan untuk menyanyikan tiga hingga empat buah lagu yang berlainan pada setiap malam.

“Saya juga akan menjadikan konsep konsert ini lebih seronok dengan membuka peluang kepada peminat memilih lagu permintaan,” jelasnya.

Peminat boleh mendapatkan tiket berharga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM245, RM305 dan RM450 dengan menghubungi www.ticket2u.biz di talian 03-41478600. Sebanyak RM5 daripada harga setiap jualan tiket akan disumbangkan kepada Majlis Kanser Nasional (Makna).

Dalam perkembangan lain, David juga dalam baru selesai merakam semula lagu Andainya Aku Pergi dengan penyanyi muda Caprice yang diberi nafas baru dan judul baru iaitu Andainya Aku Pergi 0.10.

“Saya tertarik dengan idea pemuda ini yang baru pulang dari Amerika Syarikat dan ingin membikin lagu tersebut dalam dua versi iaitu bahasa Melayu dan Inggeris.

“Sekarang ini lagu tersebut telah dirakamkan dan bakal dilancarkan tidak lama lagi. Saya tidak kisah untuk berduet dengan mana-mana penyanyi muda selepas ini asalkan mereka mengusulkan cadangan kepada syarikat rakaman saya, Universal Music.

“Saya juga berhasrat untuk menghasilkan album baru sebelum tamat kontrak dengan Universal Music pada Februari tahun depan,” jelasnya lagi.

Selain itu, dia juga bakal muncul dengan filem ketiganya berjudul Nasi Lemak 2.0. Dalam filem arahan Namewee itu, dia melakonkan watak peniaga rempah yang mempunyai anak perempuan jelita lakonan Nadine Ann Thomas.

Tiada ulasan: