Ahad, 7 Ogos 2011

Forum: NGO Sentiasa Berdampingan dengan Rakyat Jelata

SUARAM JB


Jawatankuasa Kerja Sahabat Suaram (Friends of SUARAM) Negeri Johor akan meraikan ulang tahun ke-10 pada 11 September 2011, jam 2 petang hingga 6.30 petang, bertempat di Sport Club Taman Universiti, Skudai. Program ulang tahun terdiri daripada dua bahagian di mana satu forum akan bermula tepat jam 2 petang hingga 5 petang, manakala jamuan makan akan bermula pada 5 petang dan tamat pada 6.30 petang.

Berasaskan kesimpulan yang dibuat atas pengalaman dalam 10 tahun yang lepas dan perkembangan kedaaan terkini, Jawatankusa Kerja Sahabat Suaram Negeri Johor (FOS Johor) telah menetapkan "NGO Sentiasa Berdampingan dengan Rakyat Jelata" Sebagai tema program ulang tahun ke-10 kami supaya rakan-rakan sehaluan, parti-parti politik dan pertubuhan-pertubuhan yang mendukung nilai demokrasi dalam negeri mahupun seluruh negara, dapat berkongsi pendapat mengenai peranan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam suasana sekarang.

Jawatankuasa Kerja FOS Johor telah mengundang Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga, Timbalan Pengerusi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Mohamad Sabu dan Pengarah Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) Kua Kia Soong sebagai panel dalam forum "NGO Sentiasa Berdampingan dengan Rakyat Jelata" untuk berkongsi pandangan dengan parti-parti politik, pertubuhan-pertubuhan dan orang awam seluruh negara dari sudut khas masing-masing.

Panel-panel ini diundang kerana:

1. Ambiga (gambar kiri) selaku pemimpin cemerlang BERSIH 2.0, telah berjaya menggerakkan dan memimpin "Perhimpunan Besar-besaran 709 dan Perarakan Demokrasi" yang julung kalinya berlaku (akhirnya berubah menjadi "Perarakan Tunjuk Perasaan 709" akibat represi kerajaan BN). Justeru itu, beliau telah menegakkan satu model yang gemilang dalam gerakan pertubuhan bukan kerajaan negara kita.

2. Mohamad Sabu dipilih sebagai Timbalan pengerusi PAS pada bulan Jun baru-baru ini. PAS boleh dikatakan satu parti politik utama yang mempunyai asas massa yang luas dan kukuh dalam masyarakat Melayu pada masa kini. Mohamad Sabu juga mempunyai latar belakang NGO dan pengalaman mengorganisasi massa yang mendalam. Kita berharap beliau boleh mengemukakan pandangan berdasarkan amalan (praktik) PAS serta beliau sendiri.

3. Kua Kia Soong merupakan pemimpin penting dalam SUARAM dan gerakan NGO. Beliau telah menabur bakti dalam menggerakkan perkembangan gerakan demokrasi dan hak asasi manusia di negara kita. Baru-baru ini, beliau telah menunjukkan keberanian dan tekad beliau dalam kes SUARAM saman kerajaan BN berkenaan skandal pembelian kapal selam oleh Kementerian Pertahanan Malaysia di mahkamah Perancis. Ini telah mengembangkan peranan proaktif NGO yang berani berjuang.

TimbalanPengerusi PAS Mohamad Sabu (gambar kanan) dan Pengarah SUARAM Dr.Kua Kia Soong (gambar bawah) telah menerima jemputan kami masing-masing pada 27 Julai 2011 dan 28 Julai 2011. Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga turut menerima jemputan Jawatan kuasa pada 2 Ogos 2011. Jawatankuasa penganjur bersyukur kerana ketiga-tiga penceramah telah menerima undangan untuk sama-sama berucap di dalam forum kali ini. Jawatankuasa FOS merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan.

Untuk mengembangkan pengaruh dan peranan positif forum ini, penganjur memohon penceramah-penceramah membekalkan kertas pembentangan terdahulu untuk dijilid dan dicetak sebagai bahan edaran pada hari program. Penganjur juga akan menghantarkan kertas pembentangan ini kepada media massa dan pertubuhan-pertubuhan lain (termasuk parti-parti politik) pada pagi hari program dandimuat naik ke laman web FOS Johor (suaramjb1.blogspot.com) untuk dilayari olehmasyarakat umum.

Majalah Edisi Khas Ulang Tahun ke-10

Selain menganjurkan forum serta jamuan, Jawatankuasa Kerja FOS Johor turut akan mengeluarkan sebuah Majalah Edisi Khas Ulang Tahun Ke-10 bagi menyimpulkan pengalaman perjuangan 10 tahun dan mengimbas kembali perubahan garis ideologi Jawatankuasa Kerja FOS Johor serta mengkaji peranan pertubuhan kami dalam gerakan sosial.

Semua yang berminat perlu membeli kupon untuk menyertai Forum dan Jamuan ulang tahun ke-10 Jawatankuasa Kerja Sahabat Suaram Negeri Johor. 500 kupon (500 peserta) telah disediakan. Harga satu kupon adalah RM35. Sesiapa yang berminat untuk membeli kupon, sila hubungi 016-7782707 atau 012-7227654 atau emel suaramjb1@gmail.com.

Mukadimah forum: "NGO Sentiasa Berdampingan Dengan Rakyat Jelata"

Berikut merupakan mukadimah Forum "NGO Sentiasa Berdampingan dengan Rakyat Jelata" Yang dikeluarkan secara rasmi pada 23 Julai 2011:

Pertubuhan Bukan Kerajaan (Non-Governmental Organizations, NGOs), adalah relatif dengan konsep kerajaan atau badan kerajaan dan dikenali sebagai "pertubuhan masyarakat" secara umum. Pertubuhan-pertubuhan ini ditubuhkan oleh rakyat mengikut keperluan dan keinginan sendiri, terutamanya merujuk kepada badan saling membantu, badan kebajikan, badan perhubungan, kelab sosial, badan sukan dan budaya dan sebagainya yang ditubuhkan oleh pelbagai kaum, di mana pertubuhan masyarakat Cina adalah antara yang paling menonjol. Sejak 1980-an, sesetengah pertubuhan masyarakat madani yang baru mula wujud dimangkin oleh perkembangan pesat NGO secara global dan juga perubahan semasa politik dan sosio-ekonomi dalam negera sejak kemerdekaan. Antaranya termasuk persatuan konsumer, badan perlindungan alam sekitar, pertubuhan hak asasi manusia, pertubuhan feminis/wanita, pertubuhan kebudayaan dan pendidikan, pertubuhan orang asli, pertubuhan rakyat tertindas dan lain-lain. Pertubuhan-pertubuhan ini ditubuh dan berkembang untuk melindungi hak asasi rakyat. Badan-badan baru ini berjaya membina imej yang jelas yang patut dimiliki oleh NGO.

Sebelum pilihanraya 308, Barisan Nasional (BN) bukan sahaja menguasai kerajaan persekutuan, tetapi turut memerintah di 12 kerajaan negeri. Di bawah pemerintahan BN, puak hegemoni UMNO melaksanakan pelbagai dasar diskriminasi dan penindasan kaum secara berleluasa, kroni-kroni menguasai sumber-sumber negara dan memerah rakyat, elit politik kaya-raya manakala rakyat hidup melarat, penyalahgunaan kuasa dan rasuah pula semakin berleluasa. Maka, sejak kemerdekaan lagi NGO telah mengambil pendirian dan posisi bertentangan dengan pemerintahan hegemoni UMNO tanpa ragu-ragu. Biasanya NGO akan seiring dengan parti pembangkang yang pro-rakyat untuk bersama-sama menentang "Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)" dan undang-undang zalim lain yang bersifat menindas, menentang pelaksanaan dasar-dasar kerajaan BN yang mengabaikan kepentingan rakyat seperti kenaikan harga petrol, penyalahgunaan kuasa PDRM, penswastaan ​​perkhidmatan perubatan, pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, meminta kembalikan pilihanraya majlis tempatan dan lain-lain.

Selepas pilihanraya 308, Pakatan Rakyat yang terdiri daripada tiag parti pembangkang utama iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah berjaya memperolehi kuasa pemerintahan bagi lima Negeri. Maka, ketiga-tiga parti ini kini menjadi parti pemerintah dalam Negeri tersebut dan berkedudukan dan berpendirian sebagai kerajaan. Sama ada mereka bertindak bertentangan dengan rakyat ataupun berdampingan dengan rakyat, dasar mereka terhadap NGO dan bagaimana mereka pertimbangkan kepentingan rakyat menjadi garis ukur utama. Dengan kuasa yang ada pada kerajaan negeri, samaada Pakatan Rakyat akan memansuhkan dasar-dasar diskriminasi yang wujud dalam bidang politik, ekonomi, budaya, pendidikan, agama dan lain-lain, dan juga sama ada mereka akan menunaikan hasrat rakyat untuk memulihkan pilihanraya majlis tempatan,merupakan cabaran terbesar pendirian Pakatan Rakyat dalam berdepan dengan NGO dan kepentingan asas rakyat. Selepas menjadi kerajaan negeri, Pakatan Rakyat juga telah menyerap ramai akivis yang memegang jawatan penting di NGO, maka ia bukan sahaja telah melemahkan kekuatan NGO, tetapi juga menyebabkan kedudukan dan hubungan antara NGO dengan kerajaan negeri (atau pertubuhan kerajaan negeri) menjadi kabur. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kita membincangkan dan meneliti peranan dan kedudukan NGO.

Pada 9 Julai 2011, BERSIH 2.0 yang terdiri daripada 62 NGO telah menganjurkan dan mengetuai "perhimpunan besar-besaran dan perarakan demokrasi 709" bagi menuntut refomasi sistem pilihanraya di Malaysia dan memperjuangkan pilihanraya yang adil dan bersih. Tetapi, kerajaan BN yang diketuai oleh Najib bukan sahaja tidak mengendahkan tuntutan BERSIH 2.0 yang munasabah dan sah disisi undang-undang, yang mewakili kepentingan dan aspirasi rakyat jelata, malah sanggup mengenakan tindakan represif terhadap perhimpunan tersebut. Tindakan keras ini telah mendorong 50 ribu rakyat turun menyertai demostrasi dan perarakan tersebut.

"Demostrasi dan perarakan 709" merupakan perjuangan massa yang ulung kalinya benar-benar disertai rakyat berbilang kaum. Perjuangan massa kali ini telah mengesahkan kedudukan penting NGO yang berpendirian tegas, kukuh dan benar-benar mewakili kepentingan rakyat di dalam gerakan sosial.

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) merupakan pertubuhan hak asasi manusia nasional. Ia merupakan NGO yang bebas, berotonomi dan bukan di bawah naungan mana-mana parti politik. SUARAM bersedia melibatkan diri, mengkaji atau mengkritik segala isu yang berkaitan dengan hak asasi manusia. SUARAM juga memberi perhatian kepada segala isu berkaitan hak dan kepentingan rakyat dalam bidang politik, pendidikan, ekonomi mahupun kebudayaan. SUARAM juga memberi komitmen akan bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan atau organisasi yang berjuang untuk memelihara hak asasi manusia. SUARAM tidak kedekut untuk mengutarakan pandangan serta kritikan terhadap mana-mana individu ataupun pertubuhan yang tidak menghormati atau menindas hak asasi manusia.

Kami, Jawatankuasa Sahabat SUARAM Negeri Johor (Friends of SUARAM - FOS Working Committee, Johor) merupakan pertubuhan akar umbi SUARAM di negeri Johor. Bagi membantah hegemoni UMNO dan fahaman perkauman dengan lebih efektif, kami, bekas ahli Partai Buruh Malaya, bekas tahanan politik, bekas aktivis kesatuan sekerja, aktivis pendidikan bahasa ibunda mandarin, demokrat, dan mahasiswa-mahasiswi telah bersama-sama menubuhkan FOS Johor pada 9 September 2001. Tahun ini, genap 10 tahun sejarah dan perjalanan kami.

Sempena ulang tahun ke-10 FOS Johor, kami akan mengadakan forum untuk membincangkan peranan dan posisi NGO di Malaysia kini dan masa depan di samping mengadakan jamuan makan. Kami akan mengundang tiga pemimpin atau bekas pemimpin NGO yang berpengaruh dan memainkan peranan penting dalam usaha memajukan gerakan hak asasi manusia dan demokrasi negara kita, untuk berucap, menyediakan kertas pembentangan dan menjawab soalan para hadirin dalam forum yang bertema "NGO Sentiasa Berdampingan Dengan Rakyat Jelata".

Forum akan diadakan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau Bahasa Mandarin (mengikut kesesuaian para panel). Ringkasan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Mandarin disediakan. Jamuan makan akan diadakan selepas forum. Butiran aktiviti seperti di bawah :

Tarikh: 11 September 2011 (Ahad)
Masa: 2.00ptg - 6.30 ptg (forum: 2.00ptg - 5.00ptg; jamuan makan: 5.00ptg ~ 6.30ptg)
Tempat: Sport Club TamanUniversiti, Skudai
Kupon: RM35.00 (masuk dengan kupon, duduk ikut numbor)

Kami mengalu-alukan penyertaan daripada rakyat palbagai kaum dan lapisan yang mengambil berat tentang perkembangan politik Negara. Sebarang persoalan, sila hubungi Fang Pei Fen (016-7782707).

Tiada ulasan: