Selasa, 23 Ogos 2011

Hadi Awang: PAS sedia hadapi saman fitnah Umno

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA TERENGGANU — PAS bersedia menghadapi saman fitnah yang bakal dikemuka Umno berhubung isu tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya awal bulan ini.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata, Umno berhak berbuat demikian dan PAS pula berhak mempertahankan kenyataan pemimpinnya.

“Ikut dia (Umno) . . . dia nak saman itu hak dia, hak kita membela diri,” katanya dipetik Bernama.

Hadi ditemui selepas penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menegaskan, beliau bersedia untuk bertemu Umno di mahkamah. Mustafa berkata, beliau tidak akan memohon maaf atau menarik balik dakwaan dilemparkan terhadap Umno sebelum ini.

Sebaliknya beliau dengan tegas mempertahankan dakwaannya itu.

Umno Selangor berkata pihaknya akan memfailkan saman RM10 juta terhadap Mustafa berhubung dakwaan kononnya parti itu memainkan peranan dalam tindakan Jais ke atas pemeriksaan di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.

Awal minggu lalu, Mustafa dalam satu sidang media di Kuala Terengganu mendakwa Umno berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan oleh Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama.

Beliau juga mengatakan Umno memainkan peranan dalam mempolitikkan isu itu ekoran tindakan Jais yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas gereja itu.

Tiada ulasan: