Khamis, 4 Ogos 2011

Isu Dawama: Panel Parlimen pandang serius, mahu Ketua Audit siasat


KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Parlimen memandang serius krisis membabitkan Dawama Sdn Bhd, syarikat konsesi percetakan dan pemasaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang diberi konsesi 12 tahun tetapi kini berhadapan dengan masalah kewangan dan didakwa gagal memenuhi perjanjian.

Syarikat itu mempunyai konsesi sehingga September 2014.

Justeru timbalan pengerusi panel itu, Dr Tan Seng Giaw juga mahu Ketua Audit Negara menyiasat perkara tersebut.

Selain itu beliau juga mahu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan jumlah wang telah dibayar kepada Dawama sejak 2002.

Konsesi dengan syarikat akan berakhir pada 2014.

“Apakah sebenarnya berlaku dengan syarikat itu?” kata Ahli Parlimen Kepong ini sambil berkata, “syarikat yang mencetak dan memasar buku-buku teks merupakan satu misteri kepada saya.”

“Tiba-tiba (seramai) 400 kakitangan Dawama diberi cuti tanpa gaji. Berita yang dikeluarkan mengenai buku teks, Dewama dan DBP adalah termasuk kerajaan membayar RM100 juta kepada syarikat itu untuk tujuh tahun, syarikat itu terhutang banyak, Kementerian Pelajaran hendak mencari syarikat lain dan buku-buku teks untuk 2012 mungkin menimbulkan masalah,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sehubungan itu, Dr Tan menambah, rakyat mengharapkan semua pihak mempunyai integriti dan oleh syarikat konsesi mestilah benar-benar mampu mencetak dan memasarkan buku-buku cocok dengan amalan antarabangsa.

“Kita tidak mengetahui hakikatnya. Kementerian Pelajaran melantik Dawama, membayar beratus juta ringgit kepadanya serta memantau prestasinya.

“Mengapa tujuh tahun kemudian barulah hendak memberhentikan kontrak perjanjian dan melantik syarikat yang lain,” katanya yang mendesak Muhyiddin mengumumkan hakikat mengenai kedudukan Dawama.

Selain mencetak dan memasarkan buku dan buku teks, Dawama juga diberi tanggungjawab pencetakan dan pemasaran majalah bulanan DBP.

Ekoran krisis DBP-Dawam, agensi itu gagal menggagalkan 10 majalan edisi Julai.

Bagaimanapun DBP memberi jaminan buku teks akan dapat dibekalkan kepada sekolah sebelum sesi persekolahan 2012 bermula.

Ia didakwa berkait rapat dengan masalah kewangan dialami oleh Dawama.

Dawama mengarahkan sekitar 400 pekerjanya bercuti tanpa gaji bermula kelmarin.

Semalam, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata Dawama harus bertanggungjawab ke atas segala masalah dihadapi syarikat itu termasuk isu kewangan sehingga terpaksa mengarahkan pekerjanya bercuti tanpa gaji.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran juga menegaskan kerajaan ada membayar sejumlah wang kepada Dawama, dipercayai berjuta-juta ringgit dan kini tiada sebarang bayaran tertunggak.

“Dawama harus bertanggungjawab (atas apa yang berlaku sekarang),” kata Wee.

“Dawama mencetak buku teks dan Kementerian Pelajaran bayar, jualan terjamin tetapi masih tidak dapat membuat duit (untung). Siapa yang harus dipersalahkan?” kata beliau.

Dalam laporan semalam, The Malaysian Insider membawa laporan memetik Gerakan Darurat Bahasa (GDB) yang menggesa agar kerajaan membatalkan penswastaan kerja-kerja mencetak dan memasarkan bahan terbitan DBP dan mengembalikan fungsi asal agensi Kementerian Pelajaran itu.

Tiada ulasan: