Rabu, 10 Ogos 2011

Isu gereja: Abim mahu Jais cepatkan siasatan elak spekulasi berlarutan

TERKINI

GOMBAK — Selepas seminggu serbuan ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) agar mempercepatkan siasatan dan tampil membuat penjelasan mengenai insiden itu.

Menurut Setiausaha Agung Abim, Mohamad Raimi Ab Rahim, tindakan Jais mendiamkan diri boleh menimbulkan lebih banyak persoalan dan spekulasi mengenai apa yang berlaku.

“Kita tahu dari segi siasatan Jais memerlukan masa, tapi kita mahu ia disegerakan dan laporan dikeluarkan secepat mungkin kerana ia boleh menimbulkan lebih banyak spekulasi dan suasana tegang antara agama.

“Jais perlu segerakan laporan siasatan dan kalau terbukti seperti yang didakwa (cubaan memurtadkan umat Islam) tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pihak penganjur dan pihak yang terbabit kerana telah melanggar peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Raimi berkata demikian sebagai respons terhadap isu serbuan ke atas majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya oleh Jais minggu lalu.

Kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis gereja tanpa waran kira-kira 10 malam.

Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum.

Dalam serbuan itu, Jais dilaporkan telah memeriksa 12 individu beragama Islam yang turut hadir dalam program anjuran Harapan Komuniti.

Tambah Raimi, sehingga laporan siasatan Jais keluar beliau meminta semua pihak bertenang dan jangan menimbulkan sebarang provokasi yang boleh menjejaskan perpaduan.

“Dalam isu ini kalau kita lihat banyak pihak telah mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat, seperti sedia maklum Jais telah mengikut prosedur undang-undang Islam Selangor...mungkin ada beberapa kekurangan tapi Jais telah bertindak dengan sebaik mungkin.

“Kalau kita lihat dari isu Jais, perkara ini sudah jadi isu polis selepas banyak pihak telah membuat laporan. Jais bertindak mengikut undang-undang dan seperti yang kita tahu bidang kuasa agama Islam terletak di bawah Sultan Selangor,” katanya.

Beliau menambah jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku adalah dengan berdialog, namun menegaskan pertemuan antara Jais dan Gereja Methodist Damansara Utama tidak diperlukan dalam keadaan sekarang.

“Bagi saya penyelesaian terbaik adalah berdialog... ia jalan terbaik, bagaimanapun Jais perlu percepatkan siasatan tapi semua perkara harus diteliti secara telus.

“Semua pihak juga harus bertenang serahkan kepada Jais untuk buat siasatan,” katanya.

Tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.

Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.

Tiada ulasan: