Khamis, 4 Ogos 2011

Isu Ku Li-Anwar: Kami tak pernah bincang, kata SU Agung PAS




KUALA LUMPUR — PAS menegaskan pihaknya tidak membincangkan atau ada sebarang idea mahu menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang sebagaimana dibangkitkan oleh Umno dan wakil rakyat Bebas.

“Kami (Pakatan Rakyat) tidak pernah membincangkan siapa yang perlu menggantikannya (Anwar). Kami belum menyeberang jambatan... belum lagi. Jadi isu itu tidak timbul,” kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali (gambar) pada sidang media di sini hari ini.

Parti komponen Pakatan Rakyat itu mengadakan sidang media khas pagi ini untuk menjelaskan isu tersebut.

Justeru kata Mustafa, beliau telah memeriksa perkara itu dan disahkan bahawa spekulasi itu tidak betul.

Dalam satu kenyataan semalam, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim sebagai “sampah” kerana mengaitkan beliau dalam isu pelantikan Ketua Pembangkang yang baru.

Menurutnya, beliau tidak mengenali Zahrain dan begitu juga sebaliknya.

“Dia orang yang melompat parti, orang seperti ini saya kira sampah, tempat serangga bersarang,” kata beliau di Kota Baru semalam mengulas kenyataan Zahrain kelmarin, menegaskan pertemuan antara Nik Aziz dengan Tengku Razaleigh Hamzah bagi membincangkan pelawaan pembangkang agar Ahli Parlimen Gua Musang itu menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang memang benar-benar berlaku.

Zahrain mencabar Nik Aziz membuat satu kenyataan rasmi bagi mencabar fakta tersebut dan bukannya berselindung di sebalik nota dalam laman sosial facebook.

Menurut Zahrain, sebagai individu yang tahu hukum-hakam agama dan ditambah lagi dengan kedatangan Ramadan yang suci ini, Nik Abdul Aziz sepatutnya bercakap benar berhubung isu tersebut.

Selasa lalu, Nik Aziz dalam laman facebook beliau menyifatkan khabar angin yang mengaitkannya dengan perbincangan rahsia untuk melantik Tengku Razaleigh sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Anwar sebagai satu ‘‘lawak jenaka.”

Mengulas lanjut, Mustafa berkata, perkara itu jika ada sepatutnya telah dibincangkan di peringkat kepimpinan Pakatan Rakyat, bukannya di peringkat PAS.

“Tiada pertemuan sedemikian antara Tok Guru (Nik Aziz) dan Ku Li. Ia tidak pernah berlaku.

“Ia juga tidak pernah dibincangkan oleh Pakatan Rakyat. Dan sekarang, Nik Aziz juga menafikan. Jadi, dari mana mereka dapat ini? Zahrain?” kata Mustafa sambil bersenyum.

Tiada ulasan: