Khamis, 18 Ogos 2011

Izzah Gesa Najib Timbang Semula Anggota PSC

Ditulis oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz


KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat mahu pembentukan jawatankuasa khas parlimen (PSC) yang majoritinya dibarisi wakil rakyat daripada parti pemerintah dipertimbangkan semula oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Hal ini kerana menurut ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar Ibrahim, kebiasaannya jawatankuasa-jawatankuasa khas di negara luar akan diketuai oleh pembangkang.

"Saya rujuk kenyataan media yang kita berikan semalam, kita sudah sediakan syarat rujukan sebagai jawatankuasa pilihan.

"Di mana-mana negara sama sekali pun jawatankuasa pilihan perlu dianggotai dan diketuai oleh pembangkang di sesebuah negara itu. Jadi pada pandangan awal saya, (pembentukan jawatankuasa) ini sudah tempang dan tidak mencerminkan hasrat keseriusan untuk melakukan reformasi dalam sistem pilihan raya," katanya selepas membuat lawatan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bersama Datin Seri Wan Azizah Ismail pada jam 3.30 petang tadi.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengadakan sidang media tergempar untuk memberitahu jawatankuasa khas parlimen yang akan ditubuhkan akan dianggotai oleh lima wakil rakyat daripada parti kerajaan, tiga pembangkang dan satu bebas.

Nazri juga memberitahu, usul mengenai pembentukan jawatankuasa tersebut akan dibentangkan ketika sidang Parlimen Oktober depan.

Dalam pada itu, Izzah menegaskan keputusan yang dibuat dalam pembentukan jawatankuasa ini adalah penting memandangkan ia merupakan satu reformasi pembaharuan dan penambahbaikan terhadap sistem pilihan raya di negara ini yang sudah tertunggak sejak sekian lama.

"Bukan kita menolak, tetapi kita bersedia bekerjasama tetapi anda pun tahu bagaimana parlimen kita berfungsi.

"Kalau majoriti daripada BN, SPR juga bergantung kepada BN, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga bergantung kepada BN, jadi bagaimanakah kita hendak pastikan ada perbezaan sedangkan tuntutan untuk melakukan reformasi sistem pilihan raya itu sudah lama dikenalpasti oleh Suhakam, sudah dikenalpasti juga oleh badan-badan lain...isunya ialah pelaksanaan,"katanya lagi.

Oleh itu beliau meminta Perdana Menteri, Najib Razak supaya beristiqamah dalam pembentukan jawatankuasa khas ini, sekali gus menilai semula tujuh syarat yang diletakkan oleh Pakatan Rakyat untuk menyokong penubuhan jawatankuasa terbabit.

"Saya menggesa sekali lagi kalau beliau (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) boleh merujuk semula perkara berbangkit ini.

"Pertamanya isu yang lebih besar sudah ada rekomendasi daripada Suhakam merujuk kepada laporan 2007 yang menyatakan ada tiga atau empat langkah yang perlu dibuat dalam reformasi pilihan raya,"ujarnya.

Tiada ulasan: