Khamis, 18 Ogos 2011

KE MANA SOH ‘SANG SPONSOR’ PKR SELEPAS INI?

RONTOG DAILY

Tidak ramai yang mengenali Soh Chee Wen, apatah lagi yang mengetahui peranannya di sebalik Parti Keadilan Rakyat.

Tetapi bagi yang tahu, bukanlah rahsia lagi bahawa Soh, atau nama sebenarnya Dato John Soh Chee Wen ini adalah orang yang didakwa sebagai penaja utama PKR dalam PRU ke-12 yang lalu.

Tokoh korporat ini merupakan bekas Timbalan Pengerusi MCA Selangor dan antara yang mempunyai hubungan rapat dengan Tun Ling Liong Sik semasa Ling menjadi Presiden MCA. Bagaimanapun hubungan itu retak selepas kemelut ekonomi 1997.

Dikenali sebagai pakar propaganda yang bijak, Soh adalah pemegang saham ghaib disebalik syarikat Ramunia yang dahulunya adalah syarikat IPCO di bawah Promet.

Beliau juga pemilik Lakeside View Club Subang Jaya.

Soh terus memainkan peranan penting di belakang tabir PKR untuk tempoh yang lama. Malah dikhabarkan ibu pejabat PKR sekarang adalah harta di bawah nama Soh Chee Wen.

Bagaimanapun, selepas beberapa Ahli Parlimen PKR keluar parti dan jadi Ahli Parlimen Bebas, peranan Soh Chee Wen dikatakan cuba diketepikan oleh kalangan tertentu dalam parti kerana didakwa bersekongkol membawa Ahli Parlimen PKR keluar parti.

Ini kerana rakan rapatnya iaitu Dato’ Salehuddin Hashim dilihat akan berada disamping Ahli Parlimen yang keluar parti semasa mereka mengadakan sidang media mengumumkan keluar parti.

Hubungan Soh dengan Salehuddin, bekas Setiausaha Agung PKR itu memang sangat rapat. Tindakan Salehuddin meletakkan jawatan dan keluar parti dikatakan turut mempengaruhi Soh. Dia percaya jika orang sebaik Salehuddin berbuat demikian bermakna ada sesuatu yang tidak kena dengan Anwar sendiri.

Dikatakan juga bahawa usaha menyingkirkan Soh didalangi oleh pemimpin PKR sendiri seperti William Leong, Sivarasa Rasiah dan Tian Chua. Ketiga-tiga pemimpin ini khabarnya memang tidak menyukai Soh Chee Wen dan mereka didakwa telah melancarkan gerakan sulit untuk menyingkirkannya dari terus mendampingi Anwar.

Akan lenyapkah Soh daripada kancah politik semasa, khususnya PKR disebabkan semua itu?

Sifat Soh yang tidak begitu menonjol meninggalkan banyak tanda tanya. Ada yang percaya usaha itu telah berjaya apabila Soh meninggalkan PKR. Bagaimanapun ada yang berkata, Soh masih mempunyai hubungan baik dengan kepimpinan parti itu, terutama Presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah, dan Naib Presiden, yang juga anak Anwar + Wan Azizah iaitu Nurul Izah.

Dalam satu wawancara eksklusif dengan akhbar Cina Kwong Wah Jit Poh baru-baru ini, Soh mengaku wujud perbezaan pandangan antara beliau dengan Anwar. Bagaimanapun Soh mendakwa dia tidak pula berhasrat menentang Anwar walau orang bawahan Anwar menyerangnya dengan kata-kata yang tidak sedap didengar.

Ahli perniagaan itu yang baru kehilangan isterinya pada 13 Ogos lalu akibat penyakit barah yang dihidapi sejak tahun 2007 tidak menjelaskan apa yang dimaksudkannya sebagai perbezaan pandangan dengan Anwar. Tetapi difahamkan bahawa hubungan antara kedua-duanya mula retak apabila Anwar terus mahukan Tan Sri Khalid Ibrahim mengetuai kerajaan Selangor.

Apabila Anwar terseret dalam kes liwat II, Soh dikatakan mengesyorkan supaya Ketua Umum PKR itu meninggalkan persada politik dan memberi laluan kepada anaknya Nurul Izzah memimpin parti. Permintaan itu juga tidak dilayan oleh Anwar.

Kwong Wah Jit Poh meramalkan Soh Chee Wen akan kembali aktif dalam gelanggang politik selepas isterinya meninggal dunia. Tetapi sukar ditentukan apakah beliau akan kembali bersama PKR yang telah ditinggalkannya. Pengaruhnya dalam parti itu masih ada, lebih-lebih lagi kerana Soh memiliki wang yang banyak. Namun begitu halangan yang menantinya juga tidaklah kecil kerana musuh-musuhnya di dalam PKR juga khabarnya bukanlah sedikit.

Atau mungkinkah Soh akan menyertai KITA? Boleh jadi jugakah beliau akan bergerak bersama NGO seperti Amanah?

Hanya masa yang akan menentukannya. Tetapi ke mana pun dia pergi, selagi dia mempunyai wang, dia akan disambut dengan permaidani emas – sekurang-kurangnya untuk sementara waktu. Itulah budaya politik di Malaysia. Yang mempunyai wang sentiasa mempunyai lebih kuasa berbanding dengan yang hanya mempunyai semangat dan suara! – TB

Tiada ulasan: