Selasa, 16 Ogos 2011

Kekurangan Doktor Antara Faktor Kematian Bayi Tinggi Di Terengganu

BERNAMA

BESUT: Nisbah seorang doktor bagi setiap 2,145 pesakit di Terengganu menjadi antara faktor kadar kematian bayi yang baru lahir meningkat sejak setahun lalu, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata kajian menunjukkan kadar kematian bagi bayi yang baru lahir di Terengganu kini mencatatkan sebanyak 9.2 peratus bagi setiap 1,000 kelahiran dalam jangka waktu setahun.

"Angka tersebut telah meletakkan negeri Terengganu di kedudukan yang kedua tercorot dalam negara selepas Sabah dalam kadar kematian bayi selepas lahir hidup," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 120 pesakit di Hospital Daerah Besut di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri yang juga Anggota Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin dan wakil-wakil rakyat daerah Besut.

Menurutnya, ini menunjukkan bahawa taraf kesihatan bayi di Terengganu masih rendah berbanding dengan taraf negara yang merekodkan hanya 6.3 peratus kematian daripada 1,000 kelahiran bayi hidup.

Ahmad berharap kerajaan pusat membantu Terengganu menambah bilangan doktor pakar dan pegawai perubatan berpengalaman sebagaimana Kuala Lumpur, Selangor, Johor atau Pulau Pinang.

Beliau turut meminta kerajaan pusat mempertimbangkan permohonan kerajaan negeri bagi mendapatkan sebuah hospital pakar dan sebuah hospital latihan khusus untuk pengajaran dalam bidang perubatan.

Beliau berkata, hospital latihan itu selaras dengan usaha mewujudkan kampus perubatan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) di Kuala Terengganu sejak tiga tahun yang lalu.

Tiada ulasan: