Rabu, 24 Ogos 2011

Keluarga Teoh fail semakan kehakiman keputusan suruhanjaya diraja

TERKINI


Ayah (kanan) dan ibu Teoh Beng Hock


KUALA LUMPUR — Keluarga Teoh Beng Hock hari ini memfailkan permohonan semakan kehakiman berhubung penemuan suruhanjaya diraja mengenai kematian bekas setiausaha politik Exco Kerajaan Negeri Selangor itu dua tahun lalu.

Peguam keluarga mendiang Gobind Singh Deo berkata tiada keterangan apa yang berlaku ke atas Teoh antara pukul 3.30 pagi dan 7 pagi, 16 Julai 2009 sebelum Teoh ditemui mati di Plaza Masalam, Shah Alam.

“Jika anda tidak pasti apa yang berlaku, bagaimana anda boleh membuat penemuan ini?” kata Gobind pada sidang media selepas memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini pagi ini.

Dalam laporan yang dikeluarkan akhir bulan lalu, suruhanjaya memutuskan bahawa kematian Teoh dikenal pasti berpunca daripada tindakan membunuh diri.

Keputusan mengenai punca kematian Teoh itu terkandung dalam laporan setebal 124 muka surat.Teoh, 30, Setiausaha Politik kepada EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.

Satu salinan permohonan semakan kehakiman yang dibekalkan kepada media memetik suruhanjaya diraja itu berkata, “kami percaya sesuatu telah berlaku antara pukul 3.30 pagi (selepas kenyataan Teoh dirakamkan oleh SPRM) dan 7 pagi (jangkaan waktu paling awal kematiannya) pada 16 Julai 2009, yang membawa kepada Teoh Beng Hock untuk membunuh diri.”

Keluarga Teoh berkata adalah jelas suruhanjaya diraja tidak tahu apa yang telah berlaku ke atas Teoh ketika itu, sebelum mendiang ditemui mati.

Gobind juga mempersoalkan ketiadaan tindakan yang secukupnya ke atas pegawai-pegawai SPRM, yang menurut suruhanjaya diraja telah mengakibatkan tekanan sehingga membawa kepada tindakan membunuh diri.

“Peguam Negara perlu menjelaskan. Beliau perlu memberitahu kita mengapa tiada tindakan diambil,” kata peguam.

SPRM telah menggantung tugas tiga pegawai sementara siasatan dalaman dijalankan.

Gobind menambah, keluarga Teoh akan memfailkan saman sivil ke atas SPRM bulan depan.

Tiada ulasan: