Isnin, 1 Ogos 2011

Kematian Ashraf disiasat tentukan punca, elak spekulasi

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Keputusan bedah siasat punca kematian Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, lelaki yang gagal dalam permohonan menukar nama dan status jantinannya dalam MyKad, awal pagi kelmarin mungkin diklasifikasikan sebagai kes yang perlu dibuat rujukan dan penilaian perundangan.

Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Terengganu belum menerima laporan hasil bedah siasat dibuat ke atas mayat Asyraf, 26, di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahiran, Kuala Terengganu kelmarin.

Pengarah Kesihatan Terengganu Dr Nordiyanah Hassan berkata, banyak perkara perlu dibuat penelitian untuk menentukan punca sebenar kematian Ashraf.

Justeru kata Dr Nordiyanah, kumpulan pakar perubatan yang terbabit dalam bedah siasat belum mengemukakan laporan masing-masing kepada jabatan.

“Kes ini (punca kematian Ashraf) kita ambil sebagai 'potential medical legal'.

“Ia akan mengambil masa untuk menyiapkan laporan. Apabila selesai, laporan (bedah siasat) itu pula perlu dihantar kepada Kementerian Kesihatan terlebih dulu,” katanya dipetik Berita Harian hari ini.

Beliau tidak mendedahkan punca kematian Ashraf berdasarkan laporan bedah siasat.

Ashraf meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi awal pagi kelmarin. Dia dilaporkan muntah-muntah dan pitam sehingga tekanan darahnya dilaporkan menurun hingga 80/40 lewat petang Jumaat lalu.

Penurunan mendadak tahap kesihatan lelaki itu bermula dengan kemurungan selepas gagal dalam permohonan menukar nama kepada Aleesha Farhana, menimbulkan spekulasi dalam kalangan masyarakat.

Jenazah Ashraf dimandi dan disembahyangkan sebagai seorang lelaki selepas selesai bedah siasat sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Takir.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat meinta individu yang mengalami kecelaruan identiti sehingga berhajat untuk menukar jantina merujuk kepada Mahkamah Syariah terlebih dulu sebelum membuat pembedahan menukar jantina.

Beliau berkata, Mahkamah Syariah akan membantu mereka bermasalah dengan membuat pertimbangan menerusi penelitian dokumen peribadi asal individu termasuk laporan kesihatan disahkan doktor.

Khazan berkata, Mahkamah Syariah akan memberi pertimbangan sewajarnya, terutama kepada kalangan khunsa dengan mendapatkan pengesahan daripada doktor.

“Selepas mahkamah mendapat butiran sahih daripada pakar termasuk doktor, barulah keputusan membenarkan penukaran jantina mengikut kecenderungan pemohon sama ada menjadi lelaki atau wanita diputuskan,” katanya.

Tiada ulasan: