Ahad, 7 Ogos 2011

Kepimpinan Rosti lemah, gagal memartabat pendidikan Unisel

Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPURl Bekas Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Datuk Rosti Saruwono yang meletak jawatan secara mengejut baru-baru ini, sebenarnya gagal memartabat perkembangan ilmu sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri.

Malah, Pengarah Biro Pendidikan KEADILAN, Abas Awang berkata beberapa penyelewengan didakwa berlaku yang memerlukan siasatan segera, sekali gus menunjukkan Rosti seorang pentadbir yang lemah.

Pada kenyataan media, Abas berkata, Rosti juga gagal menyatupadukan kepimpinan Unisel dan tindak tanduknya terlalu memihak kepada parti tertentu.

Tidak hairanlah, katanya, Rosti pada 20 Julai lalu membatalkan program mahasiswa di saat-saat akhir dengan alasan rapuh.

“Beliau gagal membezakan ahli politik berjawatan kerajaan dengan ahli politik berjawatan politik,” kata bekas Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan itu.

Program itu dibatal atas alasan ia dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Penasihat Ekonomi Negeri Selangor. Ironinya, Unisel adalah institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri.

“Jika yang ada jawatan dalam kerajaan Selangor dihalang ke majlis sesebuah organisasi milik kerajaan negeri, apa guna jadi pentadbir negeri,” katanya.

Abas turut mempertikai dakwaan kononnya pemecatan tiga pegawai Unisel dibuat atas arahan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, sebaliknya disebabkan faktor prestasi mereka.

Mereka ialah Bahagian Pendaftar, Rokmaa Mat; Dekan Fakulti Perniagaan, Prof Dr Khalifah Othman dan Pengarah Pemasaran, Halid Hasbullah Boestamam.

Katanya, pelantikan mereka yang dibuat ketika Menteri Besar Selangor adalah Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, tidak melalui prosedur hingga menyebabkan kakitangan lain tidak berpuas hati.

“Bagaimana prestasi Pendaftar (Rokmaa Mat) sejak dilantik? Pelantikan Rokmaa tidak melalui proses sewajarnya.

“Begitu juga Halid selaku Pengarah Pemasaran yang sejak memegang jawatan, kemasukan pelajar baru jatuh mendadak. Di Fakulti Perniagaan pula banyak desas desus wujud masalah dalaman,” katanya.

Beliau berkata, sikap Rosti terserlah ketika diwawancara bersama Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Noh Omar dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Khalid Nordin di TV3 bagi menghentam Pakatan Rakyat.

Sedangkan, katanya, tiada wakil kerajaan Selangor dipanggil ke wawancara lebih 10 minit itu untuk mempertahan diri dari fitnah mereka.

Tiada ulasan: