Selasa, 23 Ogos 2011

Kerap kemalangan: Penduduk mahu jalan dilebarkan

Khairil Abdul Rahim


BANDAR JENGKA: Keadaan jalan yang sempit serta tebing bahu jalan yang tinggi menyebabkan kemalangan berlaku hampir setiap hari, termasuk kemalangan maut sepanjang jalan utama Kampung Awah ke Bandar Jengka di sini.

Terbaru, sepasang suami isteri dan seorang cucu mereka maut apabila kenderaan van yang dipandu mangsa bertembung dengan lori di simpang utama Felda Jengka 17.

Kelmarin, aktivis PAS dari Felda Jengka 17, Abdullah Senawi, 68, bersama cucunya Nur Eiman Syazwan Muhamad, 8, maut dalam kemalangan ngeri di simpang Felda berkenaan.

Dalam kemalangan tersebut, isteri Abdullah, Fatimah debok, 58, cedera parah dan koma.

Semalam Fatimah yang merupakan Naib Ketua Muslimat Cawangan PAS Felda Jengka 17 pula meninggal dunia.

Serentak dengan itu, pengguna jalan raya Jengka mahu pihak berkuasa segera membesarkan jalan sepanjang kira-kira 40 kilometer itu kerana pada masa ini kenderaan semakin banyak terutama sejak siapnya Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) yang mana jalan keluar tol berada di Jengka 19.

Aris Faizul Ismail, 40, dari Jengka 16 menggesa pihak berkuasa segera membesarkan jalan yang dibina sejak penubuhan Felda pada tahun-tahun 1970-an kerana keadaan sudah jauh berubah dan tidak sesuai lagi.

“Ketika dibina jalan ini dulu tidak banyak kenderaan yang menggunakannya tetapi sekarang sudah jauh berbeza. Anak-anak peneroka yang bekerja di Kuala Lumpur atau di luar semuanya berkereta membuatkan jalan ini begitu sibuk. Tetapi jalan tidak dilebarkan.

“Jalan ini juga merupakan penghubung antara daerah-daerah Pahang Barat dengan Kuantan. Selain daripada kenderaan pengangkut hasil pertanian yang berulang-alik, Bandar Jengka sendiri sudah rancak dengan aktiviti perniagaan membuatkan banyak kereta keluar masuk ke sini,” katanya.

Tambahnya, kawasan ini terletak dalam kawasan Felda yang merupakan sebuah agensi kaya jadi sudah sepatutnya kerajaan bertindak segera membesarkan jalan utama bagi keselesaan pengguna.

“Bandar Jengka sudah diubah nama kepada Bandar Tun Razak oleh Perdana Menteri baru-baru ini, jadi jalan yang sempit ini jika tidak berubah hanya membawa imej buruk dan memalukan kepada orang luar,” ujarnya.

Jengka mempunyai penduduk hampir seratus peratus Melayu dengan beberapa buah tanah rancangan Felda iaitu Jengka 1 hingga 25, Kampung Awah, Sungai Nerek, Kota Gelanggi 1- 4, Sungai Tekam dan Lepar Utara 1- 14. Wilayah ini merupakan kawasan Felda terbesar di Pahang dengan penduduk kira-kira 90,000 orang.

Bandar Jengka merupakan satu-satunya bandar yang lahir dari pembangunan tanah Felda. Dulunya wilayah ini dikenali sebagai Jengka Tiga Segi kerana berada dalam tiga daerah iaitu Temerloh, Maran dan Jerantut. Di sini terdapat IPT pertama di Pahang iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Seorang penduduk lagi, Engku Nor Zaman Engku Mohamed, 41, dari Jengka 15 berkata sudah sampai masanya pihak kerajaan menaik taraf jalan Jengka kerana merupakan kawasan orang Melayu yang berkedudukan strategik.

“Bandar ini juga boleh dijadikan tarikan pelancong ke negeri ini. Kerana kawasan sekitar memiliki produk pelancongan berkualiti.

“Tidak jauh dari Bandar Jengka terdapat destinasi menarik kunjungan ramai. Antaranya ialah Gunung Senyum, Gunung Jebak Puyuh, Bukit Nyamuk, dan Gua Kota Gelanggi yang kaya dengan khazanah alam flora dan fauna. Kawasan rekreasi utama yang terkenal pula ialah Air Terjun Teladas, Lubuk Yu dan Lubuk Ujid.

Sementara itu bekas jurutera Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) Musaniff Abdul Rahman, 43, (kanan) yang menetap di Bandar Jengka menyalahkan dua faktor utama yang menyebabkan jalan utama Jengka tidak dinaik taraf. Pertama, menurutnya, pembubaran LKWJ dan kedua kerana kerusi Dun Jengka terlepas dari tangan PAS.

“Dulu ada LKWJ yang membangunkan prasarana dan kemudahan asas di wilayah ini. Ketika itu keadaan tidak seperti sekarang. Namun setelah agensi Persekutuan tersebut dibubarkan pada Oktober 2000, Jengka kini terletak di bawah Majlis Daerah Maran. Inilah kesan penutupan LKWJ.

“Satu lagi semasa wakil rakyat PAS ada dalam Dewan Undangan Negeri dulu, keadaan seperti sekarang tidak berlaku kerana segala permasalahan selalu dibangkitkan di dewan. Sebab itu saya fikir rakyat kena letak PAS semula mewakili kawasan ini dalam pilihan raya akan datang supaya kerajaan lebih peka dengan masalah rakyat”, katanya.

Pada Pilihan Raya Umum 1999 Jengka telah dimenangi oleh calon PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man setelah mengalahkan calon BN, Datuk Zainal Hasan, bekas Exco kerajaan negeri.

Malangnya pada 2004, wakil BN Abdu Rahman Ibrahim kembali memenangi Dun tersebut.

Sementara itu, difahamkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatannya ke Jengka bulan lalu dikatakan mahu mengisytiharkan peruntukan jalan Jengka – Kampung Awah dilebarkan menjadi empat lorong.

Malangnya tiada pengumuman dibuat pada masa itu.

Tiada ulasan: