Isnin, 8 Ogos 2011

Kes liwat: Anwar boleh panggil Najib, isteri jika mereka setuju

TERKINI


Anwar Ibrahim sampai ke mahkamah Kompleks Jalan Duta hari ini. — Foto Choo Choy May


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memanggil 15 saksi termasuk perdana menteri dan isterinya dengan syarat mereka bersetuju untuk ditemu bual.

Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah berkata menjadi tanggungjawab pendakwa untuk menyediakan saksi kerana pembela ada hak untuk menemu bual mereka.

Bagaimanapun kata beliau, terpulang kepada saksi sama ada mereka bersetuju untuk ditemu bual sebelum dipanggil untuk memberi keterangan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dilaporkan akan mengelak daripada ditemu bual dalam kes liwat kedua Anwar kecuali disepina oleh mahkamah.

Najib dan Rosmah bersama bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodhwan Mohd Yusof merupakan empat saksi yang dilaporkan akan mengelak daripada muncul mahkamahh kecuali diarahkan oleh pihak mahkamah.

Ketika ditemui wartawan di luar mahkamah, peguam utama pasukan pembela Karpal Singh berkata pendakwa perlu menyediakan 15 saksi utama sama ada dengan atau tanpa sepina.

“Kami tidak kisah dengan apa cara mereka akan dibawa ke sini (mahkamah). Mereka perlu dibawa. Itu adalah keputusan mahkamah dan mereka mesti menjawab soalan yang kami ada letakkan,” kata beliau.

Karpal juga berkata Anwar akan hadir ketika temu bual saksi yang dijalankan oleh pasukan pembela.

Mahkamah akan bersidang Isnin depan bagi memberi pendakwa masa untuk menyediakan temu bual dengan saksi.

Tiada ulasan: