Khamis, 18 Ogos 2011

Ketua Angkatan Muda Keadilan ke Forum Negarawan Asia ke 10

KEADILAN DAILY

Ketua Angkatan Muda Keadilan ke Forum Negarawan Asia ke 10, 19-22 Ogos 2011 Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin telah dipilih untuk menghadiri Forum Negarawan Asia ke 10 di Sendai, Jepun.

Forum yang berlangsung selama 2 hari itu akan turut dihadiri oleh beberapa tokoh terkemuka daripada Indonesia, Filipina, Thailand dan juga Jepun, antaranya Dr Anies Baswedan, Rektor Universiti Paramadina, Drs Ramadhan Pohan, Ahli Parlimen, Dr Zainul Majdi, Gabenor Daerah Nusa Tenggara Barat, Bapak Refly Harun, Penyelidik Kanan Pusat Reformasi Pilihanraya, Ramon “Ricky” Carandang, Setiausaha

Bahagian Pembangunan Komunikasi dan Perancangan Strategik, Pejabat Presiden Filipina, Dr Buranaj Smutharaks, Jurucakap Parti Demokrat Thailand, Encik Motoshiwa Furukawa, Ahli Parlimen dan Encik Yoshinori Suematsu, Timbalan Menteri (senarai peserta seperti di lampiran).

Forum Negarawan Asia ke 10 ini yang diasaskan oleh Dr Surin Pitsuwan, Setiausaha Agung ASEAN merupakan platform untuk ahli-ahli politik muda dari Jepun dan negara-negara ASEAN berwacana mengenai isu-isu berkaitan politik, ekonomi, pemahaman mengenai jama’ budaya dan permuafakatan serantau.

peranan ini walaupun bernuansa tidak rasmi tetapi mempunyai peranan yang signifikan di dalam memberikan nilai tambah kepada pemerkasaan rantau Asia.

Forum kali ini yang dianjurkan oleh Institut Kajian Dasar Kebangsaan, Jepun di Bandar Sendai, iaitu bandar yang terkesan teruk akibat tsunami dan gempa bumi pada 11 Mac 2011 yang lalu, akan membincangkan secara khusus isu-isu berkaitan cabaran global dalam berhadapan dengan bencana alam, termasuk bencana yang disebabkan oleh manusia, pengurusan pasca bencana serta masa depan dasar dan potensi tenaga hijau (green energy).

Biro Strategi dan Perhubungan Antarabangsa (SIA) mengalu-alukan mana- mana pemimpin muda yang berminat untuk berkongsi maklumat dan pandangan mengenai topik-topik di atas dengan mengirim pandangan anda melalui email ketua.amk@gmail.com.

Farhash Wafa Salvador Bin Rizal Mubarak
Pengarah Biro Strategi dan Perhubungan Antarabangsa
The 10th Asian Statesmen’s Forum
19-22 August, 2011
Hotel Taikanso Matsushima, Miyagi, Japan

Tiada ulasan: