Khamis, 4 Ogos 2011

Kiriman wang RM888,000 ke Dubai tidak dikembalikan

BERNAMA


Bayaran RM888,000 yang dikirimkan kepada syarikat yang mengendalikan projek restoran Malaysia di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 2007 tidak dikembalikan, walaupun projek berkenaan telah dibatalkan, Mahkamah Sesyen diberitahu hari ini.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Pampena Sdn Bhd Idros Mohd berkata seorang pegawai syarikat LCL Interiors Low Chin Meng telah meminta pihaknya untuk menggantikan bayaran bagi projek restoran Awana Beijing, China and Awana Hydrebad, India yang disempurnakan oleh syarikat berkenaan.

Idros, 57, yang memberikan keterangan pada perbicaraan kes pecah amanah membabitkan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab dan bekas Ketua Pegawai Operasi Pampena Mohammad Rosly Md Selamat berkata beliau telah membawa cadangan berkenaan untuk perhatian lembaga pengarah Pampena pada 29 Oktober 2008.

Beliau berkata lembaga tidak bersetuju dengan cadangan LCL Interiors itu.

Sebelum itu, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim, saksi pendakwaan itu berkata sesiapa yang bertanggungjawab meluluskan pelaburan perlulah mematuhi tatacara pelaburan yang ditetapkan untuk anak syarikat sesuatu badan berkanun.

Katanya setiap pegawai awam dikehendaki segala arahan kewangan seperti yang ditetapkan dalam Arahan Perbendaharaan 1993 dan Pekeliling Am 1998.

Dalam kes ini, Pampena terlibat dalam pelaburan bersama pihak LCL Interiors dikehendaki mematuhi tiga syarat seperti mewujudkan satu anak syarikat yang baru, seorang anggota lembaga perlu dilantik sebagai anggota lembaga syarikat yang baru itu serta perjanjian serta terma-terma pemilik boleh disemak dari masa ke semasa.

Mirza, 54 dan Mohammad Rosly, 57, yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan pecah amanah RM888,000 di pejabat Pempena di Tingkat 13, Manara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada 27 Februari 2007.

Menjawab soalan lain, Idros berkata adalah menjadi tanggungjawab selaku anggota lembaga dan Ketua pengarah Tourism Malaysia untuk memaklumkan tentang sebarang pelaburan.

Beliau juga berkata di Pampena tiada prosedur bertulis mengenai sebarang pelaburan, tetapi setiap pelaburan itu perlulah mendapat kelulusan lembaga pengarah.

Idros yang menyertai Pampena pada akhir tahun 2008 berkata kedudukan kewangan syarikat berkenaan adalah dalam keadaan tenat, di mana syarikat menanggung hutang sebanyak RM5 juta menyebabkan beberapa aset syarikat terpaksa dilupuskan untuk membayar hutang.

Perbicaraan di hadapan Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh bersambung esok.


Tiada ulasan: