Khamis, 4 Ogos 2011

Krisis DBP-Dawama: Ukas akan putus status konsesi


KUALA LUMPUR — Kerajaan menyerahkan kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) untuk menentukan status konsesi mencetak dan memasarkan buku dan majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkash.

Ukas, agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, merupakan badan persekutuan yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras projek-projek penswastaan.

“DBP tidak boleh memutuskan sama ada untuk menamatkan (konsesi dengan Dawama) ataupun sebaliknya,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

DBP, agensi badan berkanun, terletak di bawah penyeliaan Kementerian Pelajaran.

Sehubungan itu, jelas Mohd Puad, DBP mempunyai pelan kontigensi untuk memastikan kesemua buku dicetak dan dapat dibekalkan menjelang akhir tahun ini, sebelum sesi persekolahan 2012.

DIfahamkan urusan mencetak dan membekalkan itu melibatkan 53 judul buku teks untuk 2012 dan 175 buku yang perlu diulang cetak.

Semalam, Mohd Puad telah mengadakan pertemuan hampir sejam bersama Kesatuan Pekerja-pekerja Dawama dan DBP di Putrajaya.

Mohd Puad menambah, Kementerian Pelajaran juga telah meminta pekerja Dawama agar merujuk kes mereka kepada Kementerian Sumber Manusia kerana masih merupakan pekerja syarikat itu.

“Mereka tidak boleh meletakkan jawatan atau mencari kerja lain, kerana jika berbuat demikian, mereka tidak boleh menuntut pampasan,” kata beliau sambil menegaskan, dakwaan bahawa mereka diminta mengambil cuti tanpa gaji atas alasan DBP telah memungkiri konsesi adalah tidak berasas.

“Ia tidak berasas. Dawama mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya kerana kesatuan tidak dirunding terlebih dahulu,” kata beliau.

Krisis DBP-Dawama dllihat memuncak Isnin lalu apabila sekitar 400 pekerja syarikat itu yang mencetak dan memasarkan buku dan majalah agensi Kementerian Pelajaran itu sejak 2002 di bawah perjanjian selama 12 tahun, mengarahkan mereka bercuti tanpa gaji.

Dalam notis kepada pekerja-pekerjanya, ia menggariskan pertikaian berkaitan kemungkiran konsesi dengan DBP sebagai punca.

Dawama diberi tanggungjawab mencetak dan memasarkan bahan bacaan terbitan DBP menerusi kontrak yang ditandatangani pada 1 September 2002 dan sejak itu didakwa berlaku kemerosotan yang agak ketara daripada segi cetakan dan jualan.

Tempoh kontrak dengan syarikat konsesi itu adalah selama 12 tahun dan akan tamat pada 2014.

Kelmarin, Gerakan Darurat Bahasa (GDB) mahu kerajaan membatalkan penswastaan kerja-kerja mencetak dan memasarkan bahan terbitan DBP.

Setiausaha Penyelaras GDB Hasni Abas berkata langkah kerajaan menswastakan urusan mencetak, mengedar dan memasarkan terbukti gagal, dan sudah tiba masanya aktiviti itu terletak di bawah DBP sendiri selaku sebuah badan berkanun kerajaan.

Sementara itu, laporan Bernama Online memetik Mohd Puad bekata, DBP tidak melakukan sebarang kemungkiran terhadap Dawama seperti yang didakwa dalam surat arahan cuti tanpa gaji berkuat kuasa Isnin lalu.

Mohd Puad ketika menjelaskan perkara itu berkata syarikat konsesi percetakan dan pemasaran DBP itu memang berdepan masalah kewangan dan bertindak menjadikan DBP sebagai kambing hitam untuk menyelamatkan diri mereka.

Beliau berkata Dawama dalam surat itu antara lain mendakwa DBP tidak memberikan kerja mencetak buku Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris sebelum ini kepada pihaknya, menyebabkan ia kerugian hampir RM100 juta.

“Dawama berbohong. DBP tidak dapat kerja itu. Kalau DBP tidak dapat, bagaimana ia nak beri kepada Dawama. Jadi kenapa Dawama bangkitkan cerita itu sedangkan orang lain yang mendapat kerja itu. Kenapa itu dijadikan alasan DBP melakukan kemungkiran,” katanya.

Tiada ulasan: