Sabtu, 27 Ogos 2011

Kuching pelopori guna beg kertas

Datuk Bandar mahu rakyat terus mempraktikkan penggunaan beg kertas ini dalam usaha bukan sahaja memerangi pencemaran malah menjimatkan kos.



KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menanam hasrat untuk menjadikan bandar raya ini model kepada negeri lain yang menggunakan beg kertas mesra alam di negara ini.

Datuk Bandar MBKS James Chan berkata penerimaan rakyat terhadap penggunaan beg itu kini agak memberangsangkan hingga mendorong MBKS menyimpan cita-cita untuk menjadikan Kuching model kepada amalan itu di Malaysia.

“Untuk menjadi contoh (model) yang terbaik di Malaysia, kita mesti menepati beberapa kriteria tidak hanya baik dari segi wang malah dari segi penerimaan rakyat kepada sistem/amalan ini.

“Bagi kita mujur kedua-duanya itu sudah ditempuhi baik cuma perlu menunggu pengiktirafan daripada sesetengah pihak,” ujarnya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada golongan miskin tegar di Jalan Pasar Foochow di sini.

Chan berkata, sejajar dengan hasrat itu beliau mahu rakyat terus mempraktikkan penggunaan beg kertas ini dalam usaha bukan sahaja memerangi pencemaran malah menjimatkan kos.

“Bila dibuat secara drastik, kita (masyarakat) tidak akan lihat tujuan sebenar penggunaan beg kertas ini sebalik hanya akan mengganggap ia adalah hukuman kepada pencemaran alam.

“Sebab itu dari dulu kita suka galakkan masyarakat melakukan ia secara sederhana kerana lama kelamaan mereka akan tahu juga kepentingannya sama ada menjimatkan kos hidup ataupun memelihara alam sekitar,” tegasnya.

Tiada ulasan: