Jumaat, 12 Ogos 2011

Lagi PR dikesan dalam daftar pemilih SPR

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Tiga lagi pemegang status penduduk tetap (PR) dikesan dalam daftar pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Terbaru, ia dikesan di parlimen Indera Mahkota yang diwakili Azan Ismail dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN). Azan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) di kawasan itu pada 8 Mac 2008.

Perkara itu didedahkan Jabatan Pilihan Raya Pas Pahang yang pada mulanya membuat semakan nama tambahan dalam senarai daftar tersebut, dan dibandingkan dengan status kewarganegaraan dalam laman Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurut Timbalan Pengarahnya, Mazlan Mohd Yassin, dua daripada mereka telahpun ditukar status warganegara sementara seorang lagi masih kekal dalam Daftar Pemilih bagi Suku ke 2, 2011 yang baru sahaja tamat tempoh bantahan.

“Apabila diteliti didapati dua orang pemegang PR iaitu Saripah binti Yasin dan Musa bin Abdullah tersenarai dalam daftar pemilih di unit peti undi (Upu) Sungai Ular, dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Beserah.

“Sementara di Upu Balok Baru dalam Dun yang sama terdapat pemilih bernama Siswanto bin Jalai, juga pemegang PR.

Menurutnya, pada 2 Ogos lalu, pihaknya pergi ke pejabat SPR di Kuantan kira-kira jam 11 pagi dan ketiga mereka masih berstatus PR mengikut laman sesawang JPN.

“Tetapi kira-kira pukul 3 petang nama Saripah dan Musa sudah menjadi pemegang MyKad,” katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, nama Siswanto masih berstatus PR di laman berkenaan tetapi nama di dalam daftar pemilih SPR tetap kekal.

Mazlan berkata, beliau kesal dengan kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Penyelewengan ini berlaku di JPN, kerana taraf kewarganegaraan menjadi terlalu murah dan mudah hanya kerana BN mahu kekal berkuasa.

“Satu lagi saya rasa tempoh semakan dan bantahan yang diberikan oleh SPR terlalu singkat. Bayangkan daftar pemilih baru dipamer pada 27 Julai dan 2 Ogos merupakan tarikh akhir untuk membantah. Ini bermakna kita cuma ada lima hari bekerja sedangkan negeri Pahang ini luas,” katanya.

Mazlan, selain daripada masalah PR, PAS Pahang juga mengesan banyak alamat pengundi yang meragukan iaitu jumlah pengundi pelbagai bangsa yang mendiami satu alamat yang sama.

Justeru beliau berharap SPR dapat membersihkan daftar pemilihnya sebelum diwartakan untuk memelihara integriti badan tersebut.

Tiada ulasan: