Khamis, 4 Ogos 2011

MB: Laporan p'raya olok-olok satu provokasi

BERNAMA


Barisan Nasional (BN) Perak boleh mengadakan pilihan raya olok-olok pada bila-bila masa kerana ia sentiasa telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, kata Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

NONE"Tetapi sehingga kini kita tidak pernah mengadakan sebarang pilihan raya olok-olok dan saya dapati laporan (Perak telah buat pilihan raya olok-olok) yang dibuat itu adalah tidak berasas kepada BN negeri," katanya mengulas laporan sebuah portal berita bahawa BN Perak telah mengadakan pilihan raya olok-olok yang berkesudahan dengan kekalahan BN.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini, beliau berkata laporan yang dibuat oleh portal berita itu adalah sesuatu yang bersifat provokasi.

"Ia cuba menggambarkan seolah-olah hampir kesemua 24 ketua bahagian Umno di Perak enggan menggerakkan jentera sehinggalah nama calon diumumkan," katanya.

Zambry berkata isu berkenaan tidak timbul kerana BN telah menetapkan untuk mengadakan musyawarah dan perundingan bagi membincang dan mencapai persetujuan dalam sebarang perkara termasuk soal calon.

Pemilihan calon telah dimulakan sejak awal berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu calon mestilah orang yang disukai rakyat dan boleh memenangi pilihan raya, katanya.

"Saya telahpun menerima senarai pendek calon dan senarai itu sedang melalui beberapa proses penilaian. Kita ada formula di BN di mana ianya adalah melalui prinsip persefahaman," katanya.

Zambry berkata calon-calon berpotensi telahpun dikenal pasti dan ianya termasuk mereka yang sedang berkhidmat dan muka baru.


Tiada ulasan: