Selasa, 30 Ogos 2011

MB: Laporan Serbuan Jais Siap Akhir September

Ditulis oleh Radzi Razak


SHAH ALAM 30 OGOS: Laporan siasatan keatas serbuan Jabatan Agama Islam Selangor di Gereja Damansara Utama (DUMC) awal Ramadhan lalu dijangka siap akhir September ini.

Khalid berkata Jais kini dalam proses melengkapkan segala laporan-laporan yang perlu, berkenaan serbuan tersebut.

"Minggu lalu hanya perjumpaan awal, seperti yang anda tahu JAIS masih belum siapkan laporan, jadi kita beri masa. Saya fikir selepas hari raya kami akan memanggil mereka semula," jelas Khalid dalam sidang media sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini.

3 Ogos lalu, penguatkuasa JAIS menyerbu gereja terbabit selepas mendapat maklumat adanya cubaan memurtadkan orang Islam di satu majlis makan malam anjuran Komuniti Harapan.

Bagaimanapun, ia dinafikan oleh DUMC dan Komuniti Harapan. Menurut mereka, majlis tersebut adalah acara mengutip derma bagi pesakit AIDS.

Di Jawatankuasa Pendengaran Negeri Selangor 25 Ogos lalu, Jais berkata pihaknya mempunyai 'prima facie' dalam kes berkenaan.

Jawatankuasa yang dianggotai Khalid, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Wahid dan Timbalan Mufti Datuk Abdul Majid Omar belum mahu membuat sebarang kesimpulan sehingga siasatan selesai.

"Saya tak boleh beri kesimpulan lagi, jika saya bagi ia tidak adil bagi JAIS dan komuniti Harapan tersebut, sebab itu saya tidak boleh buat kesimpulan lagi," tegas beliau

Tiada ulasan: