Isnin, 1 Ogos 2011

Miri nikmati khidmat jalur lebar berkelajuan tinggi

Hasil usahasama antara Telekom Malaysia dengan pemaju perumahan Homelite Development bagi membekalkan perkhidmatan HSBB itu buat pertama kali di Sarawak.



MIRI: Miri menjadi bandar raya pertama di Sarawak menikmati perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB), kata Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II dan Menteri Kemudahan Awam, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, ini adalah hasil usahasama antara Telekom Malaysia dengan pemaju perumahan Homelite Development bagi membekalkan perkhidmatan HSBB itu buat pertama kali di Sarawak.

“Malah pembekalan perkhidmatan HSBB ini tepat pada masanya dalam memenuhi keperluan SCORE ICT dan meningkatkan pelabur supaya yakin untuk melabur di Sarawak.

“Lanjutan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi ini selaras dengan wawasan kerajaan negeri Sarawak dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang berasaskan pengetahuan dan pembangunan modal insan di negeri ini,” katanya ketika berucap di majlis menandatangani perjanjian perkhidmatan Telekom Malaysia(TM) dengan Homelite Development di sini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) Bekenu Rosey Yunus, Residen Miri, Antonio Kahti Galis, Penolong Pengurus Besar SME, TM Roslawati Mohd Tahir, Pengurus Besar SME, TM, Alfian Abu Talib dan Pengarah Urusan Homelite, Lim Siew Young.

Tambah beliau lagi, ia adalah sejajar dengan matlamat negeri ini menyasarkan kadar penembusan jalur lebar isi rumahnya akan meningkat kepada 50 peratus menjelang penghujung tahun ini berbanding 46 peratus setakat Jun lalu.

Katanya, ia menunjukkan satu petanda baik yang selaras dengan usaha berterusan kerajaan negeri untuk menghubungkan masyarakat di bandar dan luar bandar dengan komuniti yang lebih maju dari segi komunikasi dan maklumat.

“Kita yakin akan mencapai sasaran 50 peratus kadar penembusan jalur lebar pada penghujung tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar TM Sarawak, Haji Abdul Rahim Haji Mohd Ali berkata, usahasama itu adalah yang pertama seumpamanya di Sarawak antara TM dan syarikat pemaju perumahan.

Gaya hidup digital

“Melalui usahasama ini dapat mengubah arah aliran pembangunan perumahan tempatan dengan pertambahan manfaat gaya hidup digital yang dibawa menerusi sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi,” katanya.

Justeru, usahasama TM dengan Homelite Development sememangnya sesuatu yang bermakna kerana ia menggambarkan kesungguhan TM untuk membawa manfaat gaya hidup digital ke Sarawak.

Menurut Rahim, penyediaan perkhidmatan HSSB TM di negeri Sarawak adalah selari dengan perjanjian perkhidmatan antara TM dan kerajaan Malaysia yang menyatakan bahawa pelaksanaan HSBB adalah pada suku ketiga tahun 2012, sebaik sahaja premis tersebut sedia didiami.

Di bawah perjanjian perkhidmatan selama dua tahun itu, TM akan menjadi pembekal infrastruktur rangkaian dan perkhidmatan HSBB untuk projek perumahan milik Homelite Development, khususnya di Daerah Lambir, Miri.

“Ia dijangka siap dalam tempoh masa tiga tahun. Pembangunan yang terdiri daripada 332 unit kediaman pelbagai jenis dalam empat fasa seperti rumah bandar, apartmen, rumah teres dan penthhouse,” katanya.

Penduduk di situ kelak akan menikmati sambungan tersebut sebaik sahaja mendiami premis dan boleh menggunakan perkhidmatan tiga serangkai merangkumi telefon, internet berkelajuan tinggi dan video (televisyen protokol internet atau IPTV).

Oleh itu, TM berharap dapat mempercepatkan lagi perkembangan ICT seperti yang dirancang dalam Pelan Jalur Lebar Negara bagi melepasi sasaran jalur lebar yang ditetapkan,” jelas Rahim.

Tiada ulasan: