Khamis, 25 Ogos 2011

Mohon dokumen jual beli rumah dalam BM

Bagi mengelak komplikasi perundangan apabila berlaku pertikaian antara pembeli dan pemaju.



KUCHING: Pembeli rumah yang kurang fasih berbahasa Inggeris berhak meminta firma guaman menyediakan dokumen urusan jual beli dalam Timbalan Pengerusi Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak (TTPRS), Thomas Akin (BM) bagi mengelak komplikasi perundangan apabila berlaku pertikaian antara pembeli dan pemaju.

Timbalan Pengerusi Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak (TTPRS), Thomas Akin berkata, setiap maklumat dalam dokumen rasmi yang disediakan oleh pejabat peguam patut difahami oleh pembeli sebelum mereka menandatangani tanda persetujuan.

Bagaimanapun, terdapat pembeli yang mendakwa tidak memahami isi kandungan dokumen jual beli walaupun telah menurunkan tandatangan.

“Mereka (pembeli) mempunyai hak untuk meminta peguam menyediakan dokumen rasmi urusan jual beli rumah dan sebagainya agar semua isi kandungan yang ditawarkan oleh pemaju dapat difahami secara mendalam.

“Peguam juga perlu menerangkan secara terperinci kandungan dokumen kepada pembeli ketika proses tandatangan pembeli dibuat agar tidak berlaku komplikasi undang-undang pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi pendengaran kes berhubung kelewatan penyerahan milikan kosong (late delivery of vacant possession) di Makahmah TTPRS di sini.

Thomas menambah, pemaju projek perumahan juga perlu mengemukakan bukti bertulis kepada pembeli mengenai sebarang perubahan kos atau apa-apa yang berkaitan bagi mengelakkan berlaku kekeliruan.

Dalam pada itu, Mahkamah TTPRS menetapkan Pemaju Peak Horizon Sdn. Bhd membayar RM1,200 berhubung kelewatan penyerahan milikan kosong kepada pembeli, Mohamad Saif Lumbok, 36.

Saif membeli rumah teres setingkat berharga RM85,000 di Bandar Baru Siburan yang dijadualkan siap oleh pemaju pada 2008.

“Pemaju pada awalnya diminta membayar RM1,500 tetapi selepas rundingan bersama (beliau dan pemaju) akhirnya kami setuju dengan bayaran RM1,200 yang ditawarkan mereka,” katanya sambil menyatakan rasa puas hati dengan keputusan yang diambil melalui TTPRS.

Beliau yang ditemani isteri, Norfadalina Ahmad Reduan, 26, bagaimanapun melahirkan perasaan kecewa kerana masih belum berkesempatan meraikan Hari Raya Aidilfitri tahun ini di rumah impian itu.

Sementara itu, Setiausaha TTPRS, Ezlanshah Abdul Rahman berkata, setakat ini tribunal berjaya menyelesaikan 14 kes daripada 35 kes tuntutan yang diterima sepanjang Mei 2010 hingga Julai 2011.

Kebanyakan kes menyebelahi pihak pembeli rumah apabila pihak penentang bersetuju membayar sejumlah pampasan seperti yang dipersetujui kedua-dua pihak dalam tempoh empat bulan dari tarikh sesi rundingan diadakan, kata Ezlanshah.

Tiada ulasan: