Ahad, 7 Ogos 2011

Muhyiddin: Saya sendiri tak mampu jawab sebab pelajar gagal kuasai BI

THE MALAYSIAN INSIDER

SEGAMAT – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahukan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah dikaji semula bagi memastikan pelajar benar-benar dapat menguasai bahasa penting itu sebagai bahasa kedua.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran melaksanakan kajian itu.

Menyatakan pandangan beratnya terhadap soal menguasai bahasa tersebut oleh pelajar, Timbalan Perdana Menteri berkata, penguasaan Bahasa Inggeris adalah penting kerana ia bahasa utama dalam komunikasi antarabangsa dan ekonomi.

“Bagaimana sistem pendidikan negara selama 13 tahun, dengan lima tahun di sekolah menengah, masih tidak mampu membuatkan murid-murid kita menguasai Bahasa Inggeris dengan baik.

“Saya sendiri tidak mampu menjawapnya,” katanya ketika berucap sempena lawatannnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Maokil, Labis di sini.

Dipetik Bernama Online, Muhyiddin yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh berkata, kajian itu yang akan dikendali Bahagian Kurikulum Bahasa Inggeris akan melihat sama ada kelemahan itu berpunca dari kekurangan guru Bahasa Inggeris, peralatan atau punca-punca lain.

Katanya, murid-murid mungkin beranggapan bahawa kemampuan menguasai Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua itu tidak penting untuk mereka, sehingga mengakibatkan mereka berhadapan dengan masalah ketika di peringkat universiti.

Beliau menolak tanggapan pelaksanaan dasar “Memartabat Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris” (MBMMBI), telah mengakibatkan Kementerian Pelajaran mengabaikan penguasaan Bahasa Inggeris.

“Itu tanggapan yang salah, saya dan Kementerian Pelajaran sentiasa menekankan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua,” katanya.

Muhyiddin juga berkata, kementeriannya telah melakukan audit menyeluruh tentang kedudukan infrastruktur pendidikan negara, dalam usahanya untuk menyediakan keperluan infrastruktur yang diperlukan oleh sekolah-sekolah.

Walaupun kementeriannya menerima peruntukan pembangunan di antara RM5 bilion hingga RM6 bilion setiap tahun, tetapi katanya, ini tidak mencukupi kerana bilangan sekolah di negara ini adalah besar serta pertumbuhan penduduk yang pesat memerlukan pembinaan sekolah-sekolah baru.

1 ulasan:

WHERE2 berkata...

Saya beri tiusyen sambilan membantu anak-anak kampung belajar Asas membaca Bahasa Inggeris sejak tahun 1995 - mengguna sistem Phonics,

Mulai membuat kajian mengenai sistem ini sejak tahun 1995 kerana keadaan terdesak, perlu mengajar anak-anak dirumah. Kami tinggal dalam kawasan pendalaman (hutan) dimana tidak mempunyai asas kemudahan untuk belajar sewajarnya.

Dalam tempuh masa 60jam, Insyaallah hanya dari rumah dapat membantu anak-anak membaca dengan fasih.

Lepasan SPM juga mengikuti program saya, bukan mereka tak fasih tetapi rasa segan dan kurang yakin kerana sebutan2 tak betul.

Bagi pendapat saya, dari peringkat Tabika sudah boleh mengajar anak2 baca Asas, masuk sekolah di beri pendedahan Grammars, comprehension dan Composition.

Atas permintaan ibubapa, saya telah sediakan Step by step tutorial, saya blog khas kepada ibubapa murid saya agar mereka juga dapat membantu anak-anak mereka dirumah,

dedicated to non English Speakers (tutorial dalam Bahasa Malaysia.

Puteraputeri