Jumaat, 19 Ogos 2011

Muhyiddin: Tiada kegiatan murtadkan murid di sekolah


KUALA LUMPUR — Tuduhan berhubung percubaan memurtadkan murid sekolah rendah beragama Islam kepada Kristian mungkin berlaku semasa kelas tuisyen selepas sesi sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya dimaklumkan kes ini bukan berlaku di sekolah, dikatakan berlaku di luar sekolah di mana ibu bapa mungkin telah mengambil guru-guru untuk beri tuisyen kepada anak-anak mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Khas Bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini.

Muhyiddin (gambar) yang juga Menteri Pelajaran berkata, ibu bapa perlu memantau dan memastikan anak-anak mereka tidak terdedah dengan kegiatan murtad.

Katanya, pihak berkuasa termasuk agensi penguatkuasaan agama juga perlu memantau kesahihan perkara itu.

“Apa pun kita akan pantau perkara ini dan lebih penting supaya ibu bapa yang berkenaan memantau perkara ini kerana laporan telah disampaikan oleh anak mereka.

“Perkara ini kena disiasat supaya kita dapat tahu perkara yang sebenar, saya percaya ia berlaku di luar sekolah,” katanya.

Semalam editor Utusan Malaysia berkata murid sekolah rendah telah diajar ajaran agama Kristian secara halus yang mana ia bertentangan dengan undang-undang negara.

Datuk Zaini Hasan, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, akhbar milik Umno, menulis dalam ruangnya bahawa anak-anak Melayu yang miskin di Jalan Klang Lama diajar menyanyikan lagu “Yes, I know Jesus loves me” dan lagu “Hari Ini Ku Rasa Bahagia”.

Katanya, seorang guru sekolah berbangsa India dikenali sebagai Cikgu S mendakwa bahawa murid-murid Melayu diberikan kelas tambahan Bahasa Inggeris oleh penganut Kristian pada setiap Ahad.

Zaini menambah sekolah itu telah menghantar satu laporan kepada Jabatan Pelajaran untuk tindakan selanjutnya.

Utusan Malaysia juga mendakwa berlaku ketegangan antara kumpulan Kristian dan kumpulan Islam berhubung pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas majlis makan malam mubibah di Gereja Methodist Damansara Utama.

Awal tahun ini akhbar harian itu menuduh DAP terlibat dalam konspirasi dengan pihak gereja untuk menukar Malaysia kepada negara Kristian dan melantik perdana menteri dari penganut agama itu.

Dakwaan itu yang tidak berasas itu dihangatkan lagi dengan kumpulan-kumpulan Kristian mahu menggunakan kalimah “Allah.”

Kerajaan juga terpaksa melepaskan 35,100 kitab Injil versi Bahasa Malaysia yang dirampas pihak Kastam.

Tiada ulasan: