Khamis, 25 Ogos 2011

Murtad bukan masuk Kristian sahaja

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Masyarakat Islam perlu dijelaskan mengenai murtad yang tidak hanya melibatkan pertukaran daripada agama Islam kepada agama lain semata-mata.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa murtad juga berlaku akibat daripada menolak hukum dan undang-undang Allah Taala.

Jelasnya lagi, perbuatan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah atau sebaliknya juga boleh menyebabkan seseorang Islam murtad.

Justeru, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, masyarakat Islam tidak seharusnya melihat jenayah murtad itu dalam skop yang sempit seperti menganut Kristian sahaja.

“Murtad ini bukan orang Islam masuk Kristian sahaja tetapi mereka yang menolak hukum Allah, menghalalkan yang haram, mengharamkan yang halal dan lain-lain,” jelasnya semasa menyampaikan tazkirah kepada kakitangan Harakahdaily dan Harakah di ibu pejabat Harakah di sini, pagi ini.

Beliau menambah, undang-undang sahaja tidak mampu untuk mencegah gejala murtad tetapi memerlukan ilmu kerana ia berkait dengan iman seseorang.

"Undang-undang tak boleh kawal kerana murtad boleh disembunyikan," ujarnya.

Justeru, katanya proses untuk mendapatkan ilmu ke arah itu hendaklah disuburkan di kalangan masyarakat Islam.

Beliau juga menggesa ulama supaya memainkan peranan bagi memberi kefahaman kepada umat Islam mengenai perkara itu.

Ini, ujarnya agar mereka memahami murtad itu dalam skop yang sebenar.

“Kita perlu memahami gejala murtad ini dalam skop yang sebenar, jangan dalam skop yang sempit,” ujarnya.

Begitu juga, katanya ulama juga seharusnya berperanan dalam perkara-perkara yang melibatkan perbuatan yang diharamkan oleh Allah Taala.

“Mufti jangan hanya menyatakan berjudi itu haram tetapi meluluskan lesen judi adalah haram,” ujarnya.

Tiada ulasan: