Selasa, 9 Ogos 2011

Musa Hassan dan Rodhwan Enggan Ditemuramah Jika Anwar Ada

Ditulis oleh Hadri Yaziz


SHAH ALAM : Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodhwan Mohd Yusof enggan ditemuramah peguambela, jika Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir sama pada sesi temubual kes fitnah liwat II.

Anwar melalui laman Twitternya sebentar tadi memetik peguam Karpal Singh bahawa "tertuduh boleh hadir semasa sesi temuramah dengan saksi- saksi pembelaan".

Walau bagaimanapun menurut Anwar, Timbalan Pendakwaraya yang diketuai oleh Datuk Yusof Zainal Abiden akan merujuk kepada hakim mengenai perkara tersebut.

Bercakap kepada media di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, Karpal menegaskan bahawa tertuduh berhak dan akan hadir ketika pasukan peguambela menemuramah saksi- saksi.

"Kehadiran Anwar diperlukan kerana beliau adalah orang yang dituduh dan mempunyai hak untuk berada di sana,” kata Karpal.

Perkara tersebut turut disahkan Anwar yang menyatakan bahawa beliau akan menghadirkan diri pada sesi temuramah itu.

Hakim Zabidin Mohd Diah pada sebelah pagi mengumumkan bahawa pendakwaraya perlu menyediakan saksi-saksi yang telah ditawarkan kepada pasukan peguambela untuk ditemuramah.

Namun perkara yang mengelirukan apabila arahan tersebut turut menyatakan bahawa tindakan menemuramah saksi-saksi itu bergantung kepada kerelaan individu.

Dalam pada itu, memetik laporan Malaysiakini, Karpal dan Sankara Nair menyifatkan bantahan yang dikemukakan saksi-saksi bersabit kehadiran Anwar pada sesi temubual tidak pernah berlaku dalam sejarah amalan undang-undang di negara ini.

Katanya Anwar berhak untuk berada bersama-sama pasukan peguamnya bagi menentukan sebarang arahan bersabit kes berkenaan.

Karpal walau bagaimanapun sekali lagi menegaskan bahawa perbuatan menangguhkan kes kini berpunca daripada bantahan yang dibangkitkan pihak pendakwaan.

Sementara itu Timbalan Pendakwaraya Datuk Yusof Zainal Abiden melalui sebuah mesej pesanan ringkas menyatakan bahawa kehadiran Anwar tidak digalakkan.

Justeru Yusof akan bertemu dengan Zabidin bagi mendapatkan pandangan hakim itu yang turut akan disertai Karpal.

Laporan itu antara lain menyatakan bahawa DSP Jude mengesahkan bahawa enam individu akan hadir untuk ditemuramah namun tidak menjelaskan butiran saksi-saksi berkenaan.

Namun sehingga kini sesi temuramah terpaksa ditangguhkan sehingga isu kehadiran saksi diselesaikan.

Tiada ulasan: