Rabu, 17 Ogos 2011

Najib, Muhyiddin perlu hapuskan PPPA dahulu- Surendran

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menghapuskan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA 1984) dengan segera di Parlimen jika mereka benar-benar komited kepada kebebasan media dan nilai-nilai demokrasi.

Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata demikian mengulas cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengkaji semula tapisan media.

Menyifatkannya sebagai ‘agak terlambat’ dan sekadar untuk meredakan kemarahan orang ramai, Surendran turut menyeru Najib agar menghapuskan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Hasutan 1948 serta memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat seperti dilakukan kerajaan Selangor.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa kebebasan akhbar di Malaysia sejak dahulu sehingga kini terhalang oleh Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA 1984).

“Bahasa dan peruntukan PPPA 1984 lebih sesuai untuk sebuah negara diktator daripada sebuah negara yang mendakwa ia negara demokrasi.

“Di bawah undang-undang ini, tiada akhbar boleh diterbitkan melainkan mendapat permit daripada Menteri Dalam Negeri, dan ia tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara menteri itu untuk memberikan permit atau tidak.

“Lebih teruk, beliau juga boleh menarik permit itu pada bila-bila masa jika dia mahu dan keputusan itu tidak boleh dipersoalkan mana-mana mahkamah,” kata Surendran.

Tambahnya lagi, peruntukan itu juga menjadikan mana-mana akhbar di negara ini bergantung kepada belas ihsan kerajaan BN untuk terus mendapat permit penerbitan.

Ia juga adalah satu momokan kepada kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, tambahnya.

“Kita perlu ingat bahawa kebebasan bersuara sebenar hanya boleh dicapai melalui kebebasan akhbar,” kata Surendran.

Malah, kedua-dua Najib dan Muhyiddin sendiri tidak pernah berjanji untuk menghapuskan terus PPPA 1984, kata Surendran lagi.

Cadangan TPM untuk ‘mengawalselia’ media juga agak diragukan dan menakutkan kata Surendran.

“Adakah kerajaan sekadar mahu menggantikan kawalan yang sedia ada dengan bentuk kawalan lain?,” katanya.

Tiada ulasan: