Khamis, 18 Ogos 2011

Najib, Taib perlu jelaskan belanja kempen media antarabangsa- Nik Nazmi

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa kerajaan pusat dan Sarawak menjelaskan kontroversi kontrak kempen perhubungan awam di peringkat antarabangsa, yang menelan berjuta-juta ringgit wang rakyat.

Menurut Nik Nazmi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud masih lagi mengambil sikap berdiam diri mengenai kontrak membabitkan Firma penerbitan TV dan Syarikat Komunikasi Strategik, FBC Media.

“Sehingga kini tiada maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan atau pun Sarawak berkenaan isu FBC ini. Kedua-dua Putrajaya dan Kuching masih belum menafikan atau menafikan tuduhan itu.

“Putrajaya dan Kuching sekarang perlu mendedahkan peranan dan penglibatan mereka dalam kempen perhubungan awam tidak sah ini,” kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan media.

Blog Sarawak Report sebelum ini mendedahkan Kerajaan Persekutuan dan Sarawak melantik firma penerbitan TV dan komunikasi strategik Britain, FBC Media untuk menerbitkan program TV berat sebelah.

Program- program berkenaan kemudian ditayangkan syarikat penyiaran antarabangsa seperti CNBC, CNN dan BBC.

Kerajaan Persekutuan pula membayar RM57.68 juta kepada FBC Media antara tahun 2008 dan 2009, manakala kerajaan Sarawak membelanjakan RM15 juta setahun untuk tujuan itu.

Perkara yang lebih dikesalkan, kata Nik Nazmi, berjuta-juta ringgit wang pembayar cukai itu disalurkan bukannya untuk menaikkan imej negara, sebaliknya ia hanya melibatkan kepentingan BN dan Umno sebagai sebuah parti.

“Kita mahu perdana menteri tampil ke hadapan memberi penjelasan kukuh dalam isu FBC ini bagaimana berjuta-juta wang pembayar cukai disalurkan bukannya ke arah memperbaiki imej negara, tetapi untuk kepentingan parti,” kata Nik Nazmi.

Pembaziran wang rakyat yang begitu banyak untuk mengukuhkan imej bukan satu perkara baru dalam pentadbiran Najib.

Sebelum ini, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dilapor membelanjakan RM1.5 juta membeli dua muka penuh iklan dalam akhbar New York bagi mengalu-alukan lawatannya sendiri ke New York sebagai ‘Wanita Pertama Malaysia,”

Tiada ulasan: