Selasa, 16 Ogos 2011

Najib tak panggil sidang khas Parlimen, Pakatan tuntut inkuiri awam

TERKINI

KUALA LUMPUR — Selepas seminggu tiada sebarang jawapan daripada pentadbiran Najib agar dipanggil sidang khas Parlimen, Pakatan Rakyat terus memberi tekanan dengan mendesak Putrajaya mengadakan inkuiri awam berhubung isu pilihan raya.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar) berkata, pihaknya memberi tempoh tujuh hari kepada Datuk Seri Najib Razak berkuat kuasa esok selepas Perdana Menteri gagal memanggil satu sidang tergempar Parlimen.

“Pada 8 Ogos lalu kita telah menghantar satu surat rasmi kepada Perdana Menteri untuk memanggil satu sidang tergempar Parlimen yang berkaitan isu pemastautin tetap menjadi warganegara dan pengundi dengan kadar segera dan kita telah serahkan surat itu melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz dan tempoh tujuh hari itu telah tamat semalam yang mana Perdana Menteri mengumumkan untuk menubuhkan jawatankuasa khas Parlimen.

“Tapi beliau (Najib) hanya nyatakan ia (jawatankuasa khas Parlimen) itu hanya fokus kepada pembaharuan pilihan raya, jadi saya tegaskan Perdana Menteri jangan lari daripada tajuk asal, jangan lari dari perkara asas yang kita anggap satu pengkhianatan dan penyelewengan khususnya mendaftarkan pemastautin tetap jadi warganegara dalam tempoh beberapa jam,” katanya pada sidang media di sini.

Minggu lalu, Pakatan Rakyat memberi tempoh tujuh hari kepada Najib untuk memanggil sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan isu berkaitan pengurusan pilihan raya — didakwa pemastautin tetap diberikan hak untuk mengundi.

Semalam Najib mengumumkan penubuhan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang syak-wasangka wujudnya manipulasi oleh kerajaan.

Najib berkata panel itu yang akan dianggotai oleh anggota parti kerajaan dan pembangkang akan membincangkan apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kata sepakat ke arah itu.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, kepimpinan Pakatan Rakyat tidak akan berkompromi dan mahu Putrajaya mengadakan inkuiri awam.

“Isu ini kita tidak boleh berkompromi dan kita berpandangan Perdana Menteri harus memanggil sidang tergempar Parlimen dan bukan mengambil tindakan menubuhkan jawatankuasa khas Parlimen tetapi perkara yang besar, berlaku penyelewengan yang berlaku dalam urus tadbir yang mana pemastautin tetap bertukar status kewarganegaraan dalam tempoh beberapa jam.

“Kita, hari ini mendesak Perdana Menteri mengadakan inkuiri awam iaitu satu sesi bertemu rakyat di seluruh negara untuk rakyat tampil dan kemukakan bukti-bukti mengenai penipuan dan penyelewengan yang kita anggap mengancam keselamatan negara,” katanya.

Kata beliau, penubuhan jawatankuasa pemilih Parlimen tidak akan dapat menyelesaikan isu daftar pemilih yang jelas berlaku kepincangan dan penyelewengan yang gagal dijawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Adakah kita rela orang luar, orang asing yang tidak faham negara kita boleh menentukan masa depan negara yang kita anggap sangat memberi kesan, ini isu sebenar yang gagal di jawab Najib, sebaliknya beliau berdalih untuk menubuhkan jawatankuasa pilihan Parlimen ini tidak memadai untuk selesaikan isu yang besar.

“Sebab itu, kita desak inkuiri awam diadakan untuk rakyat kemukakan bukti-bukti, kalau tidak dipenuhi kita tidak akan teragak-agak untuk bertemu Yang di-Pertuan Agong dan kita akan minta suruhanjaya diraja ditubuhkan, ini yang kita mahu...Perdana Menteri jangan lari dari isu sebenar,” katanya.

Isu daftar menjadi hangat ekoran pendedahan mengenai tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan kepimpinan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR.

Mengenai jawatankuasa pilihan khas Parlimen, Salahuddin berkata, pihak bersetuju dengan cadangan itu tetapi mahu Putrajaya mengadakan rundingan dengan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya difahamkan esok akan ada mesyuarat untuk tubuhkan jawatankuasa pemilih Parlimen ini, tapi kita tidak dihubungi, kita tiada sebarang maklumat dan apa jenis jawatankuasa ini pun kita tidak tahu.

“Siapa yang akan ketuai jawatankuasa ini? Tiada guna kalau ia masih dalam budaya Parlimen yang mana kerajaan akan ketuai dan kita jadi minoriti,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, pembaharuan pilihan raya perlu diadakan sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan.

“Kita bukan mahu bermusuh tapi kita mahu kedaulatan, integriti dan keselamatan negara terjamin.

“Dan, kita harap pembaharuan ini setelah selesai, diumumkan dan disiapkan sebelum piliha raya umum ke-13,” katanya.

Tiada ulasan: