Sabtu, 20 Ogos 2011

Najib: Tuduh Umno dalangi Jais serbu gereja tak masuk akal

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Tuduhan yang dibuat pihak tertentu bahawa serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) didalangi Umno adalah tidak masuk akal dan melulu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib (gambar) yang juga Presiden Umno berkata isu itu adalah melibatkan pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang juga berhak mengarahkan Jais melakukan sebarang serbuan dan bukannya Umno.

“Itu semua tuduhan, macam mana kita (Umno) nak arahkan orang yang bukan di bawah Umno. Jais di bawah siapa? Bukan di bawah Umno, yang melakukan perkara ini siapa, bukan orang Umno.

“Takkan Umno boleh arahkan orang bukan Umno melakukan serbuan, ini tak masuk akal, kalau buat tuduhan tak masuk akal ini susahlah, ia adalah tuduhan melulu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Dipetik Bernama Online, Najib berkata Umno tetap berpegang kepada prinsip Perlembagaan Negara bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama lain bebas diamalkan di mana-mana bahagian di dalam negara.

“Dari segi pendirian Umno, ia berdasarkan Perlembagaan, maknanya agama Islam agama Persekutuan dan tidak ada siapa yang boleh menodai kesucian agama Islam termasuk untuk memaksa ataupun untuk cuba mengajak melakukan penukaran agama kepada mana-mana rakyat Malaysia beragama Islam.

“Dalam pada itu agama lain, bebas diamalkan di mana-mana kawasan di dalam negara,” katanya.

Pada 3 Ogos lalu, Jais melakukan serbuan terhadap DUMC selepas mendapat maklumat terdapat orang Islam menyertai majlis yang dianjurkan gereja itu serta ada maklumat berlaku penyebaran ajaran Kristian kepada mereka yang beragama Islam di gereja berkenaan.

Tiada ulasan: