Jumaat, 12 Ogos 2011

'Nasrudin, jangan berkokok saja’

K Pragalath


"Saya juga dikecam bila sebut jihad fisabilillah," kata Datuk Ibrahim Ali kepada Ketua Dewan Pemuda PAS.


PETALING JAYA: Datuk Ibrahim Ali mempersoal kenapa Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan Tantawi membisu ketika timbul isu kontroversi pastor-pastor Kristian yang didakwa ingin menjadikan Malaysia negara Kristian.

“Saya juga dikecam bila sebut jihad fisabililah. Saudara Nasrudin jangan berkokok saja,” kata Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dalam satu kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun beliau memuji pendirian Nasrudin menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Seksyen 13, di sini, pada 3 Ogos lalu.

Ibrahim turut mempertikai pendirian Pemuda PAS bila Pengerusi DAP Perak dan juga Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham dilaporkan mengecam tindakan Jais itu.

“Apa pendirian Pemuda PAS bila pihak DAP terus mencabar Islam. Kenapa membisu sebelum ini?,” soal Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Ibrahim menggesa Nasruddin mensasarkan kenyataannya hari ini yang dilaporkan oleh sebuah akhbar perdana kepada DAP dan anggota PAS yang membantah tindakan terhadap gereja tersebut.

Beliau berkata Nasrudin harus menyatakan secara jelas sasaran kenyataannya bagi melihat reaksi DAP, MCA atau mana-mana pihak yang berkemungkinan bercadang untuk membuat laporan polis terhadap golongan yang mempertahankan pendirian Jais.

Pada 3 Ogos lalu, Jais menyerbu gereja DUMC selepas mendapat maklumat bahawa ramai orang Islam menghadiri majlis makan malam di gereja berkenaan.

Pada bulan Mei, akhbar Utusan Malaysia melaporkan satu perjumpaan paderi Kristian anjuran pemimpin DAP di Pulau Pinang telah berlangsung bagi membincangkan kemungkinan menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian.

Berikutan itu, Mohamad Razali Abdul Rahman (ahli DAP pada ketika itu) telah membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen DAP dari Jelutong, Jeff Ooi.

Namun DAP menolak idea wujudnya konspirasi tersebut dan mengecam golongan yang menimbulkan isu ini.

Tiada ulasan: