Sabtu, 20 Ogos 2011

Pakatan cadang monopoli Bernas ditamatkan

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hari ini mencadangkan penghapusan status monopoli pengedaran beras oleh Beras Nasional Malaysia (Bernas) dan juga kajian semula terhadap status Bernas sebagai pengimport tunggal beras di negara ini.

Langkah itu dicadang untuk menjadikan industri beras tanahair lebih kompetitif dan pada masa sama memperbaiki taraf ekonomi petani beras tempatan.

Ia diumumkan Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua sewaktu sidang media siri perbincangan bajet Pakatan Rakyat 2012 di Sekretariat Pakatan Rakyat, Petaling Jaya tengah hari tadi.

“Pakatan Rakyat cadangkan status monopoli Bernas ditamatkan. Status Bernas sebagai pengimport tunggal ke dalam negara kita juga akan dikaji semula.

“Dan kita akan cadangkan lesen import dibuka kepada orang lain agar ada persaingan daripada segi import beras,” kata Tian Chua.

Menurut Tian Chua, langkah itu dicadangkan kerana sejak ia diswastakan, Bernas tidak lagi mewakili kepentingan nasional tetapi terus diberikan keistimewaan oleh kerajaan Umno BN.

Melalui sistem monopoli sedia ada, Bernas memperolehi keuntungan melalui perbezaan di antara subsidi yang dibayar kerajaan kepada mereka dengan harga beras yang dibayar mereka kepada petani, kata Tian Chua.

“Mereka rendahkan harga yang mereka beli daripada petani, hasilnya petani hilang insentif untuk menghasilkan beras dengan lebih banyak.

“Dengan adanya persaingan dalam membeli beras, kita harap ia akan merangsang pendapatan petani dan ia akan meningkatkan produktiviti petani,” kata Tian Chua.

Pada masa sama, petani juga akan memperolehi pendapatan yang lebih baik kerana subsidi beras akan disalurkan terus kepada mereka.

Pendapatan petani juga akan meningkat hasil persaingan daripada pengedar beras yang mahu mendapatkan bekalan daripada petani, kata Tian Chua.

“Ia akan mampu memperbaiki kadar penghasilan beras di dalam negara ini serta pengedaran beras dan padi (yang lebih baik).

“Sokongan kepada penanam padi juga perlu diubahsuai agar bantuan diberi terus kepada petani.

“Antaranya skim pinjaman dan skim simpanan untuk pengeluar dan penanam beras.

“Melalui skim ini, kita akan tingkatkan pengeluaran petani, dan juga ada skim pendapatan yang lebih baik untuk petani,” kata Tian Chua.

Pada masa sama, katanya lagi, pengguna tidak perlu peningkatan harga beras kerana ia adalah di antara harga barangan kawalan.

Tiada ulasan: